JANGAN TERPEDAYA
HASIL MENGEMIS RM400 SEHARI, SEBULAN RM12,000.
PENDAPATAN KITA SEHARI?
Selesai sudah umat Islam menyempurnakan hari pertama ibadah puasa tahun 1433 Hijrah. Seperti biasa, petang tadi, Bazar Ramadan di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor, dibanjiri ramai pelanggan, membeli pelbagai jenis juadah.
Masyarakat pelbagai usia, berpusu-pusu membeli makanan dan minuman untuk dijamah bersama keluarga di rumah sebaik laungan azan bergema.
Di celah-celah orang ramai, lensa kamera saya merakamkan gambar lelaki ini.
... dan juga lelaki ini.
Menyedari diekori dan gambarnya dirakamkan dari belakang, dia kemudian berpaling.
Daripada raut wajah, melalui pengalaman lalu, saya percaya dia warga asing, menjadikan bazar ramadan sebagai lubuk untuk meraih simpati.
Lalu saya terus mengekorinya.
Dia menggelongsor di jalan menggunakan papan beroda empat. Sekali dilihat, pasti ramai bersimpati, tanpa teragak-agak menghulurkan sumbangan terutama di bulan Ramadan Al-Mubarak, bulan umat Islam digalakkan bersedekah.
Majoriti pelanggan bazar terbabit memasukkan wang seringgit ke dalam bekas plastik hijau dipegang oleh pengemis itu, sebilangan dua ringgit.
Kira-kira lima minit kemudian, saya tunduk dan berbisik kepadanya.
"Sudahlah! Jangan menipu orang Malaysia , tidak baik," ujar saya.
Dia kemudian bergerak laju ke tepi jalan.
"Ambil balik tongkat kamu sembunyikan!," arah saya.
Taktik digunakan oleh pengemis warga Kemboja, berada di dalam genggaman saya.
Pantas dia mencapai tongkat disorokkan di celah timbunan sampah berhampiran pokok.
Papan gelongsor dan bekas plastik kemudian dibungkus menggunakan beg kain berwarna merah.
Dia kemudian cuba untuk beredar.
"Tunggu sekejap. Saya hendak tanya sedikit. Kamu orang Kemboja?," soal saya.
"Ya," katanya.
"Islam?," soal saya lagi.
"Bukan," balasnya.
"Kamu tinggal di mana? Bagaimana datang ke sini?," tanya saya.
"Tinggal di Damansara Damai, datang ke sini dengan kawan naik teksi, tiga puluh ringgit, pergi balik," ujarnya.
Lelaki saya rakamkan gambarnya sebelum bertemu pengemis itu, rakannya. Jumlah tambang teksi untuk datang ke Kelana Jaya dibahagi dua, RM15 seorang.
Tambah ayah kepada empat anak itu, paspot dimiliki sudah lama tamat tempoh
"Sepatutnya Jabatan Imigresen sudah lama menghantar kamu balik ke Kemboja. Kamu duduk di sini, mengelirukan ramai orang. Kamu sembunyikan tongkat agar orang berasa simpati," kata saya.
Dalam tempoh 4 tahun menetap di Malaysia , dia sebenarnya sudah fasih berbahasa Melayu.
"Cakap sama Lim, dia orang Kemboja, pandai bercakap Melayu. Lim duduk Puchong," katanya sambil menghulurkan telefon bimbit kepada saya.
Beberapa kali dia cuba menghulurkan telefon bimbit kepada saya namun saya menolak.
"Buat apa perlu saya bercakap dengan Lim?," soal saya.
Dia kemudian duduk kembali di atas tanah dan mendial telefon bimbitnya dan kemudian kelihatan bercakap dengan seseorang.
Tepat jam 6.52 petang, pengemis itu dihampiri pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya, MBPJ melakukan rondaan.
"Tuan, boleh tolong minta dia keluarkan hasil kutipan hari ini?," pinta saya.
Pegawai MBPJ, kenalan saya itu kemudian meminta pengemis terbabit menunjukkan wang dikutipnya.
"Banyak!," ujar pegawai penguatkuasa itu.
Dia mengeluarkan semua wang dari beg.
"Dia memang sudah siap ikat, seikat ini RM100," kata pegawai sama.
Saya perhatikan, terdapat dua ikatan RM100 manakala wang kertas lain masih dalam keadaan berterabur, saya anggarkan berjumlah lebih RM200.
"Lebih kurang dalam RM400 semuanya," celah pegawai MBPJ itu.
Saya yakin, RM400, jumlah pendapatannya dalam tempoh sehari, mengemis di antara pagi dan senja di beberapa lokasi berbeza.
"Itu semua kutipan satu hari?," soal saya untuk mencari kepastian.
Dia menganggukkan kepala.
Jika dia mengemis tanpa bercuti, anggaran pendapatan bulanan pengemis terbabit mampu mencecah RM12,000. Andai dia mengambil keputusan berehat pada hari Ahad setiap minggu, hasil mengemis terkumpul dalam tempoh 26 hari, RM10,400.
Fikirkan kembali berapakah jumlah pendapatan kita sehari?
No comments:
Post a Comment