Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Thursday, January 20, 2011

Cerpen Cinta: Kaulah Mata Hatiku

Oleh Siti Sohaidayati Sohib

Deburan sang ombak yang tidak jemu-jemu menghempas pantai dapat kurasai percikannya dengan hujung kaki. Di dalam kegelapan ini, hatiku berilusi, memanifestasikan fatamorgana indah ciptaan Tuhan biarpun ia terlalu jauh daripada pandangan panca indera.

"Seri …" Arshad bersuara, cuba menarik perhatianku.

Bau haruman berjenama Davidoff yang begitu semerbak menandakan Arshad sedang berdiri tidak jauh dariku.

"Ada apa Shad panggil Seri?" Aku mengulumkan senyuman, cuba mencari-cari dari mana arah bunyi suara lelaki yang telah kukenali semenjak tiga tahun yang lalu sewaktu kami sama-sama menuntut di menara gading.
"Seri sukakan tempat ni?" Dia mengajakku untuk terus berbicara.

"Suka, tempat ni sejuk, banyak angin tapi sayangnya Seri tak nampak," balasku jujur.

"Tapi Seri boleh menafsirkannya dengan mata hati kan?" Arshad mengajukan pertanyaannya.

"Hmm tapi tak sejelas seperti mereka yang mampu melihat," kataku lirih.

"Seri, kalau Shad jadi ombak, Seri akan jadi apanya?" Soalan dari bibir Arshad itu kurasakan persis pertanyaan yang selalu diutarakan oleh anak-anak kecil.

"Merepeklah Shad ni." Aku membalas acuh tak acuh.

"Seri, jawablah untuk Shad, Shad teringin nak dengar jawapan dari mulut Seri…" Rayuan Arshad cukup membuatkan aku tertawa geli hati.

"Shad kan kawan baik Seri. Kalau Shad dah rela sangat nak jadi ombak, Seri kenalah jadi pantainya, takut-takut kalau tak ada pantai nanti ombak tu jadi tsunami pula," gurauku sambil ketawa panjang.

"Habis, kalau Shad jadi kumbang? Seri sudi ke jadi bunganya?"

Pertanyaan Arshad itu membuatkan aku terdiam. Kaku dan kelu seribu bahasa.

"Seri…" Kali ini Arshad menggapai jari jemari halusku lalu digenggam mesra.

"Shad tak nak kehilangan Seri walaupun sedetik dan sebenarnya Shad ingin melamar Seri untuk dijadikan suri di dalam hidup Shad."

Genggaman tangannya di jemariku tambah erat.

Aku kaget lalu tunduk cuba menyembunyikan wajah daripada pandangan mata Arshad sambil mencari-cari kalimah terbaik untuk membalas bicaranya yang sungguh jauh daripada jangkaan hatiku.

"Seri, Shad dah lama menyintai Seri dalam diam." Luahan Arshad itu membuatkan aku diulit resah.

"Shad, Seri tak tahu sama ada sekarang ni, Seri yang buta atau Shad sebenarnya yang buta. Shad kan tahu yang Seri ni cacat…! Tak sesempurna dan seayu wanita lain."

Aku meluahkan segala ketidakpercayaanku pada setiap kata-kata Arshad.

"Tidak sayang. Kalau selama ini Seri tak dapat melihat, biarlah Shad yang akan menjadi mata untuk menyuluh hidup Seri buat selama-lamanya. Shad sungguh-sungguh menyintai Seri." Lelaki itu mengulangi lagi kalimah cintanya.

"Shad, Seri tak sangka sejauh itu perasaan Shad terhadap Seri. Bermadah itu memang mudah dilafazkan dari lidah tapi hakikatnya Seri takut kalau suatu masa nanti Shad yang akan menyesal tak sudah." Aku cuba menyedarkan Arshad daripada terus dibuai lena.

"Seri, dengarlah! Ini adalah keputusan seorang lelaki yang bernama Arshad Hakimi, Shad tak sanggup berpisah dengan Seri. Jawapan soal hati ini ada pada hati Seri sendiri.

"Beristikharahlah, semoga Tuhan benar-benar memberikan petunjuk pada Seri yang kehadiran Arshad ni memang dititipkan untuk menemani dan menyuluhi kegelapan hidup Seri," tegas Arshad panjang dan penuh makna.

Bunyi gurauan sang ombak di bibir pantai masih kuat mendesah. Begitu juga persoalan hati yang baru dibahaskan oleh Arshad sebentar tadi. Bicaranya terlalu mengocak ketenangan dan meninggalkan buih-buih resah di tubir hati.

Malam makin gelap. Segelap pandanganku ini. Aku tahu di luar sana pasti ada sinar rembulan tetapi sinaran indah itu tidak mungkin sampai ke mata hatiku kerana ia sudah digerhanai resah.

Aku buntu. Bukan mudah untuk membalas cinta Arshad lantaran aku belum mencapai impianku. Sedari kecil, aku memang bercita-cita untuk menjadi seorang guru namun lantaran aku dilahirkan daripada golongan orang kurang upaya, bidang profesional itu masih belum terbuka untuk orang yang senasib dengan diriku.

Segulung ijazah yang aku miliki dalam jurusan Sains Soisal juga masih belum menjanjikan sebarang jenis kerjaya yang sesuai dengan keadaan diriku ini.

Sesungguhnya hasrat yang tertarik di hati kecilku ini ialah ingin menjejaki jejak langkah ayah dan ibu yang menyandang jawatan sebagai seorang guru dan mendidik anak bangsanya. Hasrat itu juga pernah kusuarakan kepada Arshad dan dia sungguh berbangga dengan impian murniku.

Sebagai seorang wanita juga, aku akur dengan fitrah alam. Setiap wanita pasangannya adalah lelaki. Di sebalik kecacatan kekalku ini, suatu masa nanti aku juga mempunyai naluri untuk hidup bersama seorang insan yang dipanggil suami, riuh dikelilingi cahaya mata dan berbahagia hingga ke akhir hayat.

Namun, apakah ada lelaki berjiwa luhur yang mampu menerima diri ini seadanya? Persoalan itu mengingatkan aku tentang lamaran Arshad tempoh hari.

Sesungguhnya aku tidak pernah menatap wajah Arshad apatah lagi menafsirkan renungan dari sinar matanya untuk mengukur sejauh mana kejujurannya terhadap diriku. Aku cuma mengenali suara garaunya dan mengecam kehadirannya melalui bau haruman yang sering dipakai ketika dia bersamaku.

Ada kalanya juga, jika dia sudah lama tidak menjengukku, terbit jua rasa rinduku pada lelaki itu. Malangnya, aku tidak mampu membaca bahasa cintanya yang terpamer di sebalik keprihatinannya meladeni setiap kerenahku.

"Apa perlukah aku menukar nama Arshad daripada seorang insan yang bernama sahabat kepada seorang lelaki yang bergelar kekasih?"

Kewarasan akalku cuba berbicara pada hati. Akhirnya hanya resah dan buntu yang datang tanpa henti.

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau mendengar ucapanku, melihat tempat tinggalku, mengetahui segenap zahir dan batinku dan tidak ada satu urusan pun daripada setiap urusanku yang tersembunyi oleh-Mu. Berikanlah aku petunjuk seandainya pilihan ini baik untukku pada agamaku, duniaku dan kesudahan urusanku pada masa kini dan masa akan datang."

Sepotong doa kudus itu kupanjatkan sebelum mengakhiri solat istikharah di hujung dinihari yang kian sepi.

Semilir yang datang dari samudera nan luas masih setia bertiup nyaman. Sesekali kedengaran siulan sang camar yang berselang-seli dengan desahan ombak.

"Seri.." Arshad menggapai tangan kananku.

"Cuba Seri teka, apa agaknya benda ni?" Arshad meletakkan sesuatu di telapak tanganku.

Aku cuba mengecam benda tersebut dengan sentuhan jari.

"Hmm, ini pasti cengkerang siput kan?" Aku cuba menebak.

"Betul, sayang." Sejak dari hari pertama Arshad melamarku tempoh hari, acap kali perkataan sayang itu begitu mudah bermain di bibirnya.

Aku hanya mengangguk tanpa sepatah bicara.

"Seri, cuba Seri teka benda apa pula ni?" Arshad meletakkan benda lain di telapak tanganku.

Jemariku menyentuh permukaan kotak baldu berbentuk bulat yang lembut dan rata. Melihatkan aku yang tidak dapat menjawab tekaannya, dia mengambil semula benda tadi dari tanganku.

Kali ini dia meletakkan sebuah objek besi yang berbentuk bulat. Aku cuba meraba. Terasa ada bonggolan kecil di tepi objek besi yang bergelang kecil itu.

"Shad, apa ni? Shad nak main-mainkan Seri, ya?" Aku makin keliru kerana tidak mampu meneka nama objek yang sebenar.

"Seri, ini cincin emas, ada sebutir permata putih jernih di tengah-tengahnya. Cincin ni memang Seri punya. Shad hadiahkan sebagai tanda pernikahan kita nanti." Arshad memadamkan kekeliruanku.

"Sebenarnya Seri tak boleh terima cincin ni, jari manis Seri tak sesuai memakai cincin yang secantik ini." Aku menggeragapi tangan Arshad dan mengembalikan semula cincin itu ke telapak tangannya.

"Seri, kenapa Seri tolak cinta Shad? Shad ni memang tak cukup layak ke untuk Seri?" Arshad seakan-akan memberontak dengan tindakanku sebentar tadi.

Aku bungkam, tercari-cari kata-kata yang paling sesuai untuk dilontarkan.

"Shad, bukan Seri tak dapat menerima cinta Shad tapi Seri ingin mencapai impian Seri. Seri nak jadi cikgu, itu kan hasrat dan cita-cita yang Seri idam-idamkan selama ini." Aku cuba memohon sedikit pengertian daripada lelaki itu.

"Baiklah, kalau macam tu, cuba Seri teka lagi, apa pula benda yang ini?" Arshad masih mahu meneruskan teka-tekinya.

Beberapa helai kertas yang tebalnya tidak sampai satu inci diletakkan di atas ribaanku.

"Apa lagi ni, Shad?" Aku sudah tidak sanggup dikelirukan lagi.

"Ini borang permohonan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah, Shad akan tolong Seri isikan borang ni. Kalau permohonan ni diterima dan Seri dah berkhidmat sebagai seorang guru, Shad akan terus menikahi Seri." Arshad menerangkan satu persatu.

"Terima kasih, Shad." Hanya itu yang mampu aku terjemahkan kerana seluruh hatiku saat ini sudah dibaluti dengan sejuta kegembiraan yang tidak mampu kugambarkan dengan kata-kata.

Irama desiran ombak yang tidak lekang membasahi persisiran pantai masih senada alunannya seperti dahulu. Sang camar juga masih bebas berterbangan dengan riuh kicaunya yang sentiasa riang.

Tiga tahun telah berlalu. Biarpun begitu pantas putaran waktu, aku masih sama dengan Seri yang dulu. Seri yang dilahirkan dengan sepasang mata buta. Namun sesuatu yang tidak boleh disangkal ialah, wanita buta ini adalah isteri kepada Arshad Hakimi, seorang ibu kepada sepasang anak kembar yang sempurna deria penglihatannya dan apa yang lebih membanggakan, aku kini seorang guru yang berkhidmat di sebuah Sekolah Khas Cacat Penglihatan.

Ribuan terima kasih kupersembahkan buat suamiku, Arshad Hakimi yang tidak pernah kenal rasa jemu meminjamkan sepasang matanya untukku.

Puji dan syukur tanpa henti kupanjatkan ke hadrat Ilahi kerana memberikan aku sejalur cahaya di sebalik kegelapan yang maha pekat ini.

Cerpen Cinta Online - Sejujur Cinta Seluhur Impian

Telefon bimbit warna hijau cerah itu diletakkan di atas meja. Sebuah keluhan dilepaskan. Dayana, temannya yang menelefon sebentar lalu kini telah berjaya menjadi seorang pereka fesyen. Cita-cita yang ditanam Dayana sejak dari sekolah menengah kini telah menjadi milik Dayana.

Dia dapat membayangkan betapa gembiranya Dayana. Siapa yang tidak gembira apabila angan yang diimpikan menjadi nyata? Betapa seronoknya tadi Dayana bercerita bahawa rekaan fesyennya mula menjadi pilihan selebriti tempatan. Itu adalah permulaan kerjaya yang baik buat Dayana. Pasti kawannya itu akan menempa nama tidak lama lagi.

Daripada sekolah menengah hingga ke universiti, Yasmin dan Dayana berkawan baik. Mereka menjadi sahabat yang saling memerlukan. Biarpun sesekali bertingkah pendapat dan pandangan, bermasam muka hanyalah sekejap sahaja. Salah seorang daripada mereka akan mengalah dan hubungan persahabatan akan kembali seperti sedia kala. Itulah resipi yang meneruskan jalinan hubungan Yasmin dan Dayana.

Mereka juga berkongsi cita-cita dan minat yang hampir sama. Dayana meminati bidang fesyen dan bercita-cita menjadi seorang pereka fesyen. Kini, Dayana sudah pun berjaya menggapai cita-citanya itu.

Dia? Yasmin mengeluh kecil. Cita-citanya mahu menjadi jurusolek. Dia memang menyukai kecantikan dan amat mementingkan penampilan yang menarik. Sering kali dia dan Dayana menganyam impian untuk membuka perniagaan bersama. Dayana dengan rekaan fesyennya dan dia dengan andaman hasil tangannya. Gabungan minat mereka akan disatukan dengan membuka butik. Namun, impian yang disulam sejak sekian lamanya itu, masih bergantungan.

Akan berkuburkah cita-cita yang kuharapkan? Hati Yasmin kerap mengalunkan soalan yang tidak pernah menemui jawapan itu. Cita-citanya tidak pernah padam. Tetap membara dalam hati dan angannya. Biarpun dirasakan amat jauh untuk terjangkau dek tangan. Segalanya terletak di tangan kau, Min." Kata-kata Dayana dalam perbualan telefon tadi hingga ke saat ini masih terngiang-ngiang di telinga Yasmin.

"Kau yang harus realisasikan impian dan cita-cita kau itu. Impian tak akan tercapai hanya dengan bermimpi. Tanpa keberanian, mimpi tak bermakna."

Dayana seakan meminjam dialog daripada filem Soal Hati lakonan Afdlin Shauki dan Erra Fazira yang pernah menjadi ikutan suatu ketika dulu.

"Macam mana?" tanyanya seakan orang bodoh. Memang dia hilang punca. Mati akal biarpun cita-cita untuk menjadi jurusolek saban hari dibawanya sebaik dia membuka mata kala hari baru menjengah.

"Tidak mudah untuk menggapai kejayaan, Min. Kita kena usaha gigih. Jangan mudah mengaku kalah dan mesti kuat menahan cabaran," penuh bersemangat teman baiknya itu menyuntik semangat. Bercakap penuh yakin. Dayana bercakap melalui pengalaman.

Betapa Dayana telah melalui kegetiran untuk menggapai impiannya yang sudah menjadi realiti itu. Hidup ini mana ada yang percuma. Semua yang hendak dimiliki tidak akan menjadi hak milik hanya dengan mengunyah angan-angan!

"Dengan cara bagaimanapun, kau mesti mencuba. Meriba tangan, menanti harapan datang menyembah samalah seperti angan mat jenin sahaja. Ingat Min, yang pipih tak datang melayang. Yang bulat tak datang bergolek. Tulang empat kerat dan akal fikiran harus digunakan untuk mencapainya." Dayana benar-benar bagaikan pakar motivasi. Setiap patah kata-katanya sarat dengan makna yang cukup mendalam.

"Aku yakin kau boleh, Min. Kau ada bakat dan minat yang mampu menjulang kau nanti," suntikan semangat daripada Dayana begitu membara.

Ya! Aku harus berusaha untuk berjaya. Mesti mencapai angan dan impian ini, penuh semangat kata hati Yasmin menanam harapan. Kejayaan Dayana akan dijadikan panduan dalam mencapai cita-citanya.

"Min."

"Yasmin Adeela!"

"Hah?" Yasmin sedikit terpinga-pinga. Suara parau yang memanggil nama penuhnya mengejutkan dia daripada lamunan yang panjang.

"Dah sampai ke mana? Bulan? Bintang?" Taufiq, suami Yasmin tertawa melihat isterinya yang terpinga-pinga itu.

"Abang dah balik?" soalnya yang masih lagi mamai. Begitu jauh dia hanyut dalam lamunan impiannya.

"Berangan? Berkhayal?" Taufiq bertanya dalam tawa yang masih lunak.

"Min minta maaf, abang. Min tak sedar abang balik," ujarnya sambil mencapai tangan suaminya dan disalami serta dikucup. Kebiasaan yang diamalkan sejak mereka sah sebagai suami isteri sejak dua tahun yang lalu.

"Apa yang Min fikirkan?"

Soalan suaminya dijawab dengan gelengan. Dulu, sering dia mengalunkan angan dan cita-citanya kepada Taufiq. Suaminya amat masak dengan cita-citanya yang satu itu. Dan, Taufiq sentiasa memberikan sokongan. Tetapi sejak mereka mengambil keputusan berkahwin, angan-angan yang diimpikan itu sudah berkurangan diluahkan kepada suaminya. Dia tahu, sukar untuk dicapai impian itu. Usahkan mahu mendapat modal untuk belajar menyolek secara profesional, duit untuk membeli barangan dapur terpaksa berjimat cermat.

Hendak membeli barangan mekap untuk diri sendiri perlu berfikir banyak kali. Terutamanya setelah kelahiran Khaleeda, permata hati mereka suami isteri. Hidup ini, semuanya perlukan wang. Celik mata saja, harus ada wang untuk meneruskan kelangsungan hidup. Itulah hidup di bandar metropolitan ini.

"Kenapa ni, sayang?" lembut suara Taufiq mampu mengusir resah yang singgah di laman hati Yasmin. Taufiq seorang suami yang baik dan sentiasa di sisinya. Di saat dia memerlukan seseorang di sampingnya.

"Abang pergilah mandi. Min siapkan makan malam," ujarnya lembut.

Biarpun hidup mereka serba kekurangan, namun dia amat bahagia hidup bersama Taufiq. Setiap hari dia cuba untuk menjadi isteri yang terbaik kepada suaminya. Mahu menjadi isteri yang sempurna kepada lelaki yang amat dicintainya itu.

Malam itu, sewaktu menonton televisyen bersama suaminya sambil melayani keletah Khaleeda yang berusia setahun lebih, Yasmin membuka cerita. Diceritakan kejayaan Dayana kepada Taufiq. Betapa dia amat teruja dengan kejayaan sahabat baiknya itu. Selain daripada menumpang gembira Dayana, dia juga mahu menggenggam kejayaan yang serupa. Juga mahu merasai kegembiraan yang sama.

"Cita-cita Min tak pernah padam, abang," katanya.

"Abang tahu dan faham. Walaupun dah lama Min tak suarakan keinginan ini, abang tahu yang cita-cita Min tak pernah padam."

"Abang tahu?" soalnya dengan sedikit ragu. Rasanya sudah dibungkus kemas keinginan itu di sudut hatinya. Dia tidak mahu membebankan Taufiq dengan cita-citanya yang memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit.

"Min isteri abang. Abang dah masak sangat dengan sifat dan sikap isteri abang." Taufik mencapai jari jemari isterinya dan digenggam erat.

"Tapi, macam mana abang mahu jadikan cita-cita Min satu kenyataan? Hidup kita sekarang bukan senang, Min. Gaji abang di kilang itu cukup-cukup sahaja untuk kita terus hidup. Tidak mewah tapi kita tidak susah."

"Min.. Min minta maaf. Min tak patut suarakan kemahuan Min dalam keadaan keluarga kita yang tidak seberapa ini. Min minta maaf, abang," pintanya dengan rasa bersalah.

Tidak wajar dia menyuarakan cita-citanya kepada Taufiq. Sebetulnya dia lebih memahami taraf kehidupan mereka.

"Abang faham. Abang tak kisah. Min perlukan seseorang untuk berkongsi apa yang Min rasakan. Percayalah, abang akan sentiasa di sisi Min. Luahkan segalanya pada abang. Mungkin suatu hari nanti, impian Min akan tercapai. Kita jangan jemu berdoa." Taufiq semakin mengemaskan genggaman. Seakan menyatakan betapa membara cintanya kepada sang isteri yang amat dikasihi.

"Terima kasih abang. Min bangga sangat dikurniakan abang sebagai suami. Min sayangkan abang," ungkapnya dengan penuh rasa penghargaan. Ungkapan yang sering dilafazkan sebagai lambang cinta yang abadi dalam jiwanya.

"Min segalanya pada abang. Cinta abang hanya untuk Min." Taufiq berkata dalam nada yang paling romantis.

Perasaan Yasmin semarak dengan kebahagiaan setiap kali Taufiq mengungkap kata-kata serupa itu. Tidak perlu mewah dengan kerlipan emas mahupun wang ringgit yang bertimbun, kasih sayang dan keperluan serba sederhana yang disediakan suaminya, sudah cukup membahagiakan dirinya. Tidak perlu simbahan sinar bulan mahupun cahaya bintang, senyuman suaminya mampu menceriakan hari-hari yang dilalui. Itulah cinta mereka yang sangat agung.

Tenang perasaannya melihatkan suaminya lena tidur sambil memeluk Khaleeda. Matanya masih mampu bertahan biarpun sudah melewati waktu tidur kebiasaannya.

Taufik dan Yasmin! Cintanya dan suami begitu agung. Mereka bercinta dari tahun pertama di universiti. Mereka membina harapan untuk hidup bersama. Mengimpikan kebahagiaan yang berpanjangan untuk bersama hingga ke nafas terakhir.

Namun cinta mereka mendapat halangan. Ditentang keluarga Taufiq lantaran Yasmin adalah anak yatim piatu yang dibesarkan di rumah anak-anak yatim. Kedua-dua orang tua Yasmin sudah meninggal sejak Yasmin kecil.

Atas nama kasih sayang yang luhur, Taufiq tetap mempertahankan hubungan mereka. Diberi kata dua, antara keluarga dan Yasmin, Taufiq rela dipinggirkan kesenangan keluarga dengan mengahwini Yasmin. Waktu itu mereka berdua baru saja menamatkan pengajian di universiti. Mereka membina hidup tanpa restu orang tua. Bukan muda untuk graduan seperti mereka diterima bekerja. Mereka menyewa flat untuk membina hidup sebagai suami isteri. Wang simpanan yang tidak seberapa, habis digunakan untuk bayaran pendahuluan sewaan flat dan membeli keperluan asas rumah.

Dua bulan hidup bersama, rezeki daripada Tuhan berada dalam rahim Yasmin. Keadaan diri yang hamil, membataskan Yasmin untuk mencari pekerjaan. Rezeki anak dalam kandungan, Taufiq diterima menjadi pembantu penyelia di sebuah kilang hingga akhirnya dinaikkan pangkat menjadi penyelia.

Biarpun mempunyai kelayakan, Yasmin tidak mampu bekerja kerana mengasuh Khaleeda di rumah. Mahu dihantar ke taska, bayarannya terlalu mahal untuk mereka. Yasmin cuba-cuba juga mengintai peluang pekerjaan namun rezeki masih belum menyebelahi dirinya. Selesa dengan tugasan sebagai suri rumah, isteri dan ibu membuatkan dia memendam cita-cita yang pernah menjadi kegilaannya ke lubuk hati. Namun panggilan telefon daripada Dayana siang tadi memarakkan semula impiannya.

Aku mesti boleh. Jika orang lain boleh, aku juga boleh. Yakin boleh! Suara hati kecilnya membakar semangat diri. Menyuntik harapan yang melangit. Tetapi bagaimana? Akal Yasmin buntu jua.

Setelah menidurkan Khaleeda, Yasmin mencapai akhbar Harian Metro yang dibelinya pagi tadi. Ada sesuatu yang menarik minatnya dalam akhbar itu. Sesuatu yang baginya adalah peluang. Mana tahu dia boleh mencuba. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Hatinya berbisik.

Pantas helaian akhbar diselaknya. Peraduan Fair & Lovely menawarkan hadiah yang cukup lumayan. 'Hanya dengan mengarang serba ringkas mengenai diri anda dengan menarik, Fair & Lovely akan merealisasikan impian anda.' Begitu mudah dan menarik sekali, fikir Yasmin. Rasa bagaikan peraduan itu dicipta untuknya.

Seharian itu, dia bekerja keras mengarang serba ringkas dengan sebaiknya mengenai dirinya. Hampir penuh bakul sampah dengan kertas-kertas yang direnyuknya.

Begitu payah untuk mencipta ayat yang baik, sedap dibaca dan menarik biarpun untuk mata sendiri. Bukan mudah hendak jadi pengarang rupanya, desis hatinya. Benarlah, tiada apa yang mudah dalam dunia ini.

Menjelang petang, barulah dia selesai melunaskan 'tugas'nya itu. Hampir patah rasa tangannya itu menulis dari tengah hari hingga menjelang petang. Entah berapa puluh helai kertas dibazirkan begitu sahaja. Tetapi mampu menghasilkan karangan sebaik yang sudah dikarangnya itu, cukup memuaskan hati. Memarakkan perasaannya untuk menyertai peraduan itu.

Taufiq tersenyum membaca karangan pendek yang dihasilkan isterinya. "Ada bakat jadi penulis juga isteri abang ni," komennya.

"Min teringin sangat nak sertai peraduan ni. Itu yang Min perah otak dari tadi. Mana tahu rezeki Min di sini," ujarnya mula memasang harapan.

"Abang doakan untuk Min." Taufiq memberi sokongan.

"Kalaulah Min berjaya dalam peraduan ni…"

"Apa yang Min mahukan?" duga Taufiq.

"Mestilah Min nak pergi kursus andaman dan dalami bidang solekan. Abang pun tahukan, impian isteri abang ni?"

Taufiq ketawa. Melihatkan keceriaan pada wajah Yasmin, dia berasa gembira. Dalam hati dia mendoakan yang terbaik buat isterinya itu. Juga mendoakan mama dan papanya akan menerima Yasmin sebagai menantu suatu hari nanti. Merestui perkahwinannya dengan Yasmin.

Benarlah, tuah manusia tiada siapa yang mampu menduga. Yasmin menerima panggilan daripada pihak penganjuran Fair & Lovely menyatakan yang dia terpilih sebagai salah seorang peserta yang akan ke peringkat akhir pertandingan itu. Pihak penganjuran memilih lima orang peserta untuk dibawa ke peringkat akhir bagi mencari seorang pemenang yang akan memenangi hadiah utama.

Antara syarat pertandingan itu adalah peserta harus berada di akademi pertandingan selama sebulan dan tidak dibenarkan pulang. Syarat itu cukup membuatkan Yasmin 'terduduk'. Sebulan tanpa melihat Khaleeda dan Taufiq? Mahu haru biru hidupnya tanpa harta dan nyawanya itu. Sesaat pun dia tidak akan senang duduk tanpa melihat Khaleeda dan Taufiq di depan mata. Itulah dunianya setelah sah menjadi isteri dan ibu. Dunia yang penuh keindahan.

Kepada sang suami, dia meminta pandangan. Antara kemahuan dan rasa tanggungjawab, amat sukar untuk dia membuat pilihan. Peluang serupa ini tidak akan selalu bertandang. Sekali seumur hidup mungkinnya. Dia mencuba menyertai pertandingan ini dengan sejuta harapan. Lalu, wajarkah dia menolak peluang ini? Buntu Yasmin memikirkannya.

"Ini adalah peluang untuk Min. Peluang yang tak akan mungkin berulang semula." Begitu kata suaminya ketika dia meminta pandangan Taufiq.

"Bagaimana dengan abang dan anak kita? Siapa yang akan uruskan abang dan Khaleeda?" soalnya dengan rasa gusar.

Taufiq mengelus erat jari-jemari isterinya. Anak matanya singgah pada wajah mulus Yasmin.

"Hidup ni perlukan pengorbanan. Kita sudah banyak berkorban selama ini demi untuk mencari yang terbaik. Abang doakan Min berjaya. Pergilah Min. Capai cita-cita Min."

Dada Yasmin ditolak sebak. Restu dan keizinan daripada suaminya amat bermakna dan berharga. Membuatkan dia berasa cukup terharu. Air mata gembira mengalir laju di pipinya. Pantas tangan suami dikucupnya.

"Terima kasih kerana memahami diri isteri abang," ucap Yasmin.

"Abang sentiasa doakan untuk Min. Pandai-pandailah jaga diri nanti," kata Taufiq.

"Bagaimana dengan kerja abang? Siapa akan jaga Khaleeda?"

"Abang akan fikirkan nanti. Min jangan risau. Abang akan jaga anak kita baik-baik. Macam mamanya jaga," gurau Taufiq.

"Tapi, Min belum tentu akan menang," luah Yasmin.

"Yang utama Min sudah mencuba dan berusaha. Menang kalah, kita terima dengan hati yang terbuka. Abang mahu Min rebut peluang keemasan ini."

"Terima kasih, abang," entah kali ke berapa, ucapan itu meniti di bibir Yasmin. Sekalung penghargaan dititipkan buat suaminya yang tercinta.

Bermulalah kehidupan Yasmin sebagai salah seorang peserta di akademi. Setiap peserta diberi pilihan untuk memilih bidang yang akan diceburi andai memenangi pertandingan ini. Setiap peserta akan diberi seorang pembimbing. Yasmin tentunya memilih bidang solekan. Dia mempelajarinya bersungguh-sungguh. Segala kebolehan dipraktikkannya. Ilmu yang dicurahkan, digunakan sebaik yang mungkin. Doa dan restu suami, akan dimanfaatkan sepenuh keikhlasan. Andai dia berjaya, kemenangan ini adalah untuk suami dan anaknya.

Berkat kesungguhan, Yasmin muncul sebagai pemenang. Kemenangan yang amat bermakna. Kemenangan yang diharapkan mampu merubah warna hidupnya. Yang paling utama, kemenangan ini adalah jambatan untuk dia meniti kejayaan yang menjadi harapan dan impian sejak sekian waktu lamanya.

Hari gilang gemilang itu dihadiri suami dan anaknya. Erat dipeluknya Taufiq dan Khaleesda bagi melepaskan rindu yang begitu hangat. Teresak-esak dia menangis apabila diberitahu suaminya mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan demi menjaga anak mereka. Pengorbanan yang amat bermakna daripada seorang suami demi melihatkan kejayaan isterinya.

"Kita jemput pemenang pertandingan Impian Fair & Lovely kali ini, Puan Yasmin Adeela membacakan semula karangan pendek mengenai dirinya yang telah memikat para juri memilihnya sebagai salah seorang peserta pertandingan ini." Si pengacara mempelawa. Yasmin melangkah ke tengah pentas bersama sekuntum senyuman. Jambangan bunga yang dimenangi erat dalam kendongan. Wajah suami dan anaknya dikerling sekilas. Itulah penguat semangatnya.

"Saya Yasmin Adeela, seorang suri rumah, isteri dan ibu kepada seorang anak perempuan. Hidup kami serba kekurangan, tidak mewah tetapi saya merasakan bagaikan hidup dalam istana. Saya sebagai permaisuri dan suami saya adalah raja. Kami melalui hari-hari dengan penuh ria dan tawa. Saling mempercayai adalah resipi kebahagiaan kami.

"Saya menyimpan angan dan cita-cita untuk menjadi seorang jurusolek. Cita-cita ini tidak pernah padam biarpun berasa amat tipis untuk saya berpeluang menggapainya. Sokongan dan dorongan suami tidak pernah ada hadnya. Melalui pertandingan ini, saya harap saya akan mencapai impian saya." Mata Yasmin bertaut dengan sinar mata Taufiq yang bening.

"Dan hari ini, Fair & Lovely telah merealisasikan impian anda. Anda akan diberi modal untuk menjalani kursus andaman dan diberi bimbingan untuk memulakan perniagaan dalam bidang ini." Si pengacara menyambung kata.

"Terima kasih yang tak terhingga saya kalungkan pada suami saya, Taufik Adam. Cintanya adalah penyuluh yang menerangi kegelapan." Yasmin sebak saat menuturkan kata-kata itu.

Seluruh hadirin bertepuk tangan. Mata Yasmin bertaut dengan sepasang lelaki dan perempuan yang memimpin Khaleeda. Emak dan ayah mentuanya yang turut hadir memberi sokongan. Suaminya berjaya memujuk emak dan ayahnya menghadiri hari yang penuh sejarah indah ini. Melihatkan kebahagiaan Taufiq dan Yasmin, kedua-duanya mengalah dan menerima perkahwinan itu. Apatah lagi dengan kehadiran cucu sulung yang amat diharapkan.

Air mata Yasmin semakin laju membasahi pipi. Hari ini dia memperolehi sebuah kemenangan yang amat berharga. Kemenangan yang tidak akan boleh dijual beli. Impiannya menjadi kenyataan. Harapan dan restu yang didambakan sudah dimiliki. Berasa maruah dirinya sebagai perempuan dimartabatkan.

Terima kasih Tuhan, bisik hatinya.

Oleh Noranizan Tahir

Sumber: Mini Novella Fair & Lovely, Harian Metro: Sejujur Cinta Seluhur Impian

Cerpen : Cinta Seindah Langit

Oleh Mohd Khairul Riza Tuan Mohd Yusop

RUMAH banglo dua tingkat. Angin bertiup menyapa balkoni. Panas petang terasa-rasa. Ain menyelak helaian demi helaian novel yang ditatap sejak pukul tiga tadi. Diletakkan sebentar di atas meja. Merehatkan mata. Ain mendepang tangan. Mengeliat. Rambut yang terurai dihembus lembutnya angin.

"Ain, ada surat untuk Ain."

Ain menjengah ke bawah. Kelibat posmen bermotosikal merah baru sahaja berlalu. Yanti menunjuk-nunjuk sesuatu yang berada di tangannya. Surat untuk akukah?

**************
"Ini untuk cikgu."

Ain memandang Ipin yang mengunjukkan kepadanya seikat petai.

"Petai?" tanya Ain sambil memerhati Ipin yang kusut-masai. Berkasut selipar, dengan baju sekolah yang sudah kusam.

"Ayah bagi," jawab anak kecil itu. Tangannya masih menghulur petai yang masih belum diambil Ain.

Ain jadi kasihan. Tangannya lantas menyambut huluran anak itu. "Cakap pada ayah, cikgu ucap terima kasih." Ipin angguk-angguk.

"Cikgu, terima kasih kerana pujuk ayah saya," ucap Ipin.

"Sama-sama. Berterima kasih juga pada abang Zehran."

Ipin angguk-angguk. Kemudian Ipin lari menyertai kawan-kawannya. Mata Ain mengekor setiap langkah Ipin. Budak lelaki berambut kerinting dengan beg kain berwarna hijau tua kelihatan girang apabila menyertai kawan-kawan sebayanya. Ain senyum.

"Membalas budi?" tiba-tiba sahaja Ruqayah menegur. Ain terkejut. Dia menampar lembut Ruqayah. Ruqayah senyum.

"Bukan membalas budi. Tapi berbahasa. Adat memberi dan adat membalas," balas Ain.

"Masak sambal tumis petai," Ruqayah memberi cadangan.

"Kau yang masak ya."

"Kenapa? Orang bandar tak pandai masak tumis petai."

"Aku orang bandar yang kampung."

"Apa-apa sahajalah," balas Ruqayah sambil berlalu meninggalkan Ain yang masih lagi tercegat.

"Aku ajak Zehran makan bersama kita ya. Biar dia rasa sambal tumis petai buatan kau."

Ain membulatkan matanya mendengarkan kata-kata rakan serumahnya itu.

***************

"Mama menangis?"

Ain hairan melihat mamanya berlinangan air mata.

"Dahulu lagi papa dah beritahu. Tak perlu ambil kursus perguruan tapi Ain degil. Sekarang tengok apa sudah jadi. Bukankah lebih baik Ain uruskan sahaja syarikat papa," Dato' Ahmed mencelah.

Ain lihat papanya.

"Oh ini pasal surat tadilah." Ain mula mengerti kenapa rumahnya kelihatan muram sahaja.

"Tak payahlah pergi Ain. Mama risau. Lagipun tempat yang Ain nak pergi itu pedalaman. Mama takut Ain tak boleh suaikan diri nanti."

"Mama, Papa, ini tugas seorang guru. Lagipun Ain suka apabila dapat mengajar di sana. Memang sudah jadi impian Ain untuk membantu anak bangsa kita."

"Suka. Mengajar anak Orang Asli di perkampungan Orang Asli."

"Mama, Ain ibarat benih. Dihantar ke mana-manapun dia akan tumbuh. Cuma doa mama dan papa sahaja yang berupaya menyiram benih itu untuk tumbuh subur."

Datin Maria merenung anaknya. Dirangkulnya Ain. Mereka berpelukan. Ain juga menitis air mata.

***************

Masih lagi menggunakan kapur. Papan hitam berlubang sebelah kiri. Kerusi meja berselerakan. Lantainya hanya bersimen. Ain menghulurkan senyuman kepada anak muridnya. Hanya lima orang. Tiga perempuan dua lelaki.

"Bangun. Selamat pagi cikgu." Seorang anak murid lelaki yang berkulit hitam bangun mengucapkan hormat. Empat yang lain turut mengikut apa yang dikatakan oleh murid lelaki tersebut.

"Selamat pagi," balas Ain.

Ain ke mejanya yang sedikit berhabuk. "Menyesal? Aku tidak pernah menyesal," bisik hati kecilnya.

"Mana kapur tulis?" tanya Ain.

Seorang murid bangun. "Kapur tulis dalam meja."

Ain memandang murid tersebut.

"Kamu Ipin?" tanya Ain lagi.

Murid tersebut mengangguk.

"Terima kasih kerana tumpangkan cikgu semalam."

*****************

"Kalau begitu kita putus sahaja ikatan ini," luah marah Imran.

Ain terpana. Tiga tahun bercinta sesenang itu sahaja Imran memutuskan apa yang cuba dipertahankan selama ini.

"Putus disebabkan pendirian aku ini sahaja."

"Selalunya keputusan kau tidak cocok dengan aku."

"Hei Imran kenapa selama ini kau tak nampak ketidakserasian kita? Kenapa sejak daripada dulu sahaja kau tidak putuskan ikatan ini?" Ain membalas marah.

"Kau yang tidak membuatkan kita serasi."

Ain mengetap bibir. Imran sudah melampau. Hanya kerana tindakan aku menerima tawaran mengajar di sana sahaja, Imran terus membuat keputusan sebegitu.

"Kau tahu tentang cita-cita aku kan. Baiklah kalau itu yang kau pinta aku terima keputusan engkau. Di sana ada ramai lagi yang akan menerima kehadiran aku dalam hidup mereka."

"Carilah Orang Asli sebagai kekasih baru kau," jerit Imran.

"Jangan menghina, Imran," kali ini Ain telah kenal wajah sebenar Imran.

****************

Mujurlah beg yang diisi pakaiannya tidak besar. Jadi tidaklah berat sangat beban yang ditanggung. Dia juga bernasib baik kerana telah diberitahu terlebih dahulu oleh guru besar tempatnya akan mengajar. Guru besar itu memberitahu perjalanan masuk ke perkampungan Orang Asli tersebut agak jauh. Jadi, janganlah bawa banyak barang.

Ain berhenti sebentar. Dia duduk pada akar pokok. Ain lihat kasutnya berselut merah. Baju yang dipakainya basah dek peluh.

"Letihnya. Tapi letih lagi aku bercinta dengan Imran selama ini." Ain senyum sendiri.

Baginya, potret Imran sudah lama dibuang jauh. Dia mahu membina lukisan hidup yang baru. Ain angkat beg. Dia mahu meneruskan perjalanan. Jika dia menunggu petang tentunya panas akan tiba.

Ketika Ain melangkah, sebuah motosikal menghampirinya. Motosikal itu berhenti berdekatan dengannya. Penunggang motosikal yang tidak memakai baju itu berwajah serius. Dia membawa beberapa potong rotan. Seorang anak kecil di belakangnya. Duduk di atas potongan rotan tersebut.

"Pergi mana?" lelaki tersebut bertanya.

"Pergi sekolah rendah sana. Saya guru baru di situ," jawab Ain teragak-agak.

Tali begnya dipegang erat. Dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang buruk.

"Jauh lagi. Kena jalan jauh lagi," beritahu lelaki itu.

"Tak mengapa," balas Ain.

"Naik motor."

"Hah! Naik motor." Ain terkejut mendengar pelawaan lelaki itu. Naik motor dengan lelaki Orang Asli yang tidak berbaju itu.

"Oh tidak, aku lebih rela berjalan kaki," bisik hati Ain.

Lagipun mana ada ruang sudah. Motor tersebut telah penuh diikat dengan rotan. Anaknya pun terpaksa duduk di atas batang rotan.

"Eh, tak mengapa pak cik," Ain cuba menolak apabila lelaki tersebut turun daripada motosikalnya.

Rotan yang dibawanya dilempar ke tanah. Anak lelaki tersebut juga sudah turun. Lelaki itu merenung Ain. Ain jadi takut. Ain tidak selesa.

"Bukan naik dengan aku. Naik dengan dia," lelaki tersebut seakan mengerti apa yang difikirkan Ain.

"Dengan anak pak cik." Ain terkejut apabila lelaki itu menunjuk ke arah anaknya yang tersengih sejak daripada tadi.

"Dia pandai bawa motor. Sekolah itu jauh lagi."

Ain serba salah. Jika sekolah itu jauh lagi dia perlu naik motosikal dengan anak lelaki tersebut. Dia sudah penat berjalan. Anak lelaki tersebut tersengih menunggu dia membuat keputusan.

******************

"Saya Zehran. Renjer hutan di kawasan ini," pemuda yang berpakaian seragam hijau memperkenalkan diri.

Ain lihat Ruqayah mengerling kepadanya.

"Zehran ini dah lama di sini. Dialah yang menolong aku masa mula-mula datang dahulu," terang Ruqayah. Ain angguk-angguk tanda mengerti.

"Saya harap Cik Ain tak macam guru-guru lain. Berpindah ke sini kemudian minta tukar sebab tak tahan dengan suasana sekitar. Semua mahukan keselesaan. Saya kasihan tengok anak-anak di sini."

"Insya-Allah saya akan menjalankan tugas sebaik mungkin," Ain seolah-olah berikrar sebuah janji.

Zehran tersenyum. Nampak lesung pipitnya. Hati Ain tenang melihat wajah Zehran. Entah kenapa apabila memandang wajah Zehran hatinya menjadi tenang. Semua kesedihan hilang. Dia jadi ralit memandang wajah itu.

Ruqayah berdehem. Ain terkejut. Malu.

*****************

Sudah seminggu Ipin tidak datang ke sekolah. Ain benar-benar resah. Kelas yang lima orang sudah jadi empat orang. Kadang-kadang pernah hanya dua orang sahaja di dalam kelas. Sakitkah Ipin? Hati Ain teringat-ingat. Wajah Ipin yang selalu tersengih dan sering menggaru kepala terbayang-bayang di fikirannya.

"Dia buat perangai lama dia," Ruqayah menjawab apabila Ain memberitahu permasalahan tentang Ipin sewaktu berada di bilik guru.

"Dulu dia kerap tak datang ke sekolahkah?" tanya Ain.

Ruqayah angguk-angguk. Namun terus menulis sesuatu di mejanya.

"Sejak engkau datang sahaja dia rajin datang. Mungkin dia terpesona dengan kecantikan kau."

Ruqayah cuba berkelakar namun Ain tidak ambil peduli. Dia teringatkan Ipin.

Ruqayah berhenti menulis. Dia merenung Ain.

"Kalau dia ponteng pun bukan sebab dia yang mahukan begitu."

Ain pandang Ruqayah. "Habis itu sebab apa?"

"Tenaga mereka diperlukan untuk menolong keluarga. Aku pernah dengan yang si Ipin itu kena tolong ayahnya cari rotan. Aku dengar juga yang ayah dia nak berhentikan sekolahnya."

Ain merenung jauh ke luar bilik guru. Kata-kata Ruqayah membuatkan hatinya terasa-rasa.

*******************

"Kenapa cikgu suka pandang langit?" tanya Ipin yang datang bertandang ke rumah Ain.

"Sebab langit indah. Ada bintang. Ada bulan," balas Ain.

Ipin mendongak. Melakukan apa yang dibuat Ain.

"Tapi malam ini tak ada bulan pun."

Ain pandang Ipin. "Malam ini gelap. Kalau tak ada bulan, bintang masih ada."

"Langit itu luas. Ipin cuba anggap langit itu sebagai cita-cita. Bukankah ia begitu luas untuk digapai," sambung Ain lagi.

Ipin diam. Ain tahu Ipin tidak faham dengan apa yang dicakapkan.

"Apa cita-cita Ipin?" tanya Ain.

Ipin termenung panjang. "Emm, nak jadi cikgu macam cikgu juga."

"Wah bagusnya. Kenapa nak jadi cikgu?" tanya Ain lagi.

"Ipin nak mengajar di sini. Nak bantu orang kampung Ipin. Nak jadi macam cikgu."

Ain tersenyum bangga. Begitu mulia dan tinggi hasrat anak itu.

"Kalau nak jadi cikgu kena rajin datang sekolah."

"Emm," Ipin angguk-angguk. Ain dapat lihat kesungguhan di wajahnya.

********************

"Kenapa pilih kawasan ini?"

"Aku antara manusia-manusia yang terpilih."

Zehran renung Ain. Ain cuba mengalihkan pandangannya agar tidak bertembung dengan pandangan pemuda itu. Ain malu.

"Kau pula kenapa berada di sini?"

"Kerana kau cintakan hutan. Sayangkan rimba. Di sini aku dapat semua itu."

"Nak jadi Tarzan ya?"

Zehran ketawa.

"Kalau aku jadi Tarzan, aku mahu kau jadi Janenya."

Ain diam. Apakah maksud kata-kata Zehran itu?

**********************

"Dia perlu tolong aku. Dia anak sulung kena kerja."

Itulah jawapan yang diterima Ain tatkala dia berjumpa dengan ayah Ipin, Itam. Mujurlah Zehran sudi menemankan dia mencari rumah Ipin.

Ain bertekad di dalam hatinya. Dia akan cuba memujuk agar Ipin dibenarkan bersekolah semula.

"Ipin budak pandai. Nanti kalau besar dia boleh dapat kerja yang baik," pujuk Ain lagi.

"Kalau dia pandai, aku tak ada duit nak bagi di sekolah tinggi-tinggi."

Ain dapat melihat kedegilan Itam.

"Kami Orang Asli hanya perlu hidup macam ini sahaja. Ipin kena tolong aku cari rotan. Kalau tidak siapa yang nak bagi adik-adiknya makan."

"Pak cik kena fikirkan masa depan Ipin. Pak cik nak lihat Ipin kerja macam pak cik? Bersusah payah masuk hutan. Sedangkan anak orang lain belajar. Pak cik tak cemburu lihat anak-anak orang lain kerja bagus-bagus sedangkan Ipin terus susah seumur hidupnya."

Entah dari mana Ain mendapat keberanian sebegitu untuk berkeras dengan ayah Ipin. Itam merenung Ain. Ain menguatkan semangatnya. Biarlah apa yang berlaku dia tetap akan memujuk Itam.

"Dia kena tolong aku," rengus Itam terus berlalu pergi meninggalkan Ain.

Ain memandang Zehran. Memohon simpati.

********************

"Aku pernah terluka disebabkan cinta."

"Sebab itu kau sampai ke sini?" teka Ruqayah.

"Tidak. Aku memang mahu ke sini. Tapi si dia tidak mengerti dan tidak mengizinkan aku ke sini," terang Ain.

"Tidak mahu mencari pengganti?"

Ain ketawa mendengar pertanyaan Ruqayah.

"Kenapa kau ketawa?"

"Entahlah barangkali lucu mendengar pertanyaan kau."

"Lucu?"

"Ruqayah, cita-cita aku mahu membuat jasa untuk penduduk kampung ini terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya nanti ada anak murid aku yang berjaya."

"Pelik."

"Kenapa pula pelik?"

"Semangat keguruan kau itu."

"Tak pelik pun."

"Ada orang tanya kau."

"Tanya apa? Kalau bab agama kau lebih bagus. Aku cikgu matematik sahaja."

"Serius ini Ain. Bukan main-main."

"Aku pun tak main-main."

"Ada orang berminat dengan engkau."

Ain terperanjat. "Siapa?"

"Pemuda berbaju hijau," Ruqayah berteka teki.

Di fikiran Ain terbayangkan Zehran. Ain mengetapkan bibirnya. Rekahan pintu cintanya dibuka buat kali kedua. Adakah cintanya akan bersemi jauh di pedalaman?

******************

"Zehran mahu berjumpa aku."

Hati Ain berdebar-debar setelah diberitahu perkara itu oleh Ruqayah. Kata Ruqayah, Zehran ada perkara penting yang mahu diberitahu.

"Adakah kerana pertanyaannya itu?"

Ain teringatkan apa yang telah disampaikan Ruqayah. Zehran berminat dengannya.

"Apakah aku telah bersedia bercinta semula setelah dikecewakan Imran?" Kisah Imran masih menghantuinya.

"Aku datang ke sini kerana satu impian. Impian memberi ilmu." Ain menggosok-gosok jari jemarinya. Perasaan hatinya berperang-perang.

"Dah lama tunggu?" tiba-tiba suara Zehran menyapa. Ain terkejut.

"Baru sahaja," jawab Ain ringkas.

"Ada perkara penting?" tanya Ain lagi. Zehran lama diam. Hati Ain resah.

"Saya dah berjaya pujuk Itam. Dia benarkan Ipin sekolah semula."

Ain memandang Zehran.

"Betulkah apa yang awak cakap?" Ain begitu gembira mendengar perkara tersebut. Walaupun sangkanya Zehran mahu bertanya tentang perkara yang pernah diberitahu oleh Ruqayah.

"Ya."

"Syukurlah. Terima kasih awak kerana membantu."

"Sama-sama. Awak kena buktikan yang awak boleh didik pelajar macam Ipin sehingga berjaya."

"Saya akan buktikan," janji Ain. Ain bangun.

"Awak nak ke mana?" tanya Zehran.

"Nak balik."

"Saya belum tanya awak perkara yang penting itu lagi."

"Tadi, perkara Ipin itu bukan perkara penting yang awak nak beritahu?"

"Ada lagi yang lebih penting."

"Apa?"

"Saya mahu melamar awak."

Ain diam. Kelu. Dadanya berdebar-debar.