Oleh: PROF DR. SIDEK BABA SAHSIAH Unggul adalah suatu konsep yang menghubungkan tentang kualiti insan atau manusia. Meneliti mana-mana tamadun besar, lahir sahsiah unggul yang memiliki keutuhan keilmuan, jiwa penerokaan, peribadi teladan dan menjadikan asas-asas kemurnian nilai sebagai landasan membangunkan kehidupan dan sistem. Sepanjang sejarah umat manusia, sahsiah unggul ini lahir dalam zaman-zaman yang berbeza, cuba membawa jawapan tentang makna hidup dan makna kemajuan. Para remaja harus reflektif atau memiliki upaya berfikir pantulan terhadap sesuatu yang berlaku pada masa lalu untuk dijadikan pedoman pada hari ini. Sifat zaman adalah sesuatu yang sambung-sinambung. Takdir kejadian sifatnya berulangan. Sejarah yang lalu boleh mengulangi jejak. Yang lalu dikenang dan dipelajari supaya remaja tidak mengulangi kesilapan yang pernah berlaku. Sifat reflektif ialah iktibar yang diambil dan diolah dalam bentuk yang terkini supaya manusia terus maju tetapi fitrah keinsanan tetap berada di landasan. Itulah maksud maju dan berubah dalam tradisi Islam. Dalam tradisi Islam, al Quran memberikan fokus dalam pembangunan rijal atau insan. Fokus membangunkan modal insan menjadi matlamat al Quran dalam membangunkan peribadi Rasulullah s.a.w. Peribadi teladan yang disebut sebagai khuluq al Quran atau peribadi Qurani menjadi tunjang kekuatan sahsiah unggul yang terbukti mampu membentuk peribadi-peribadi besar dalam sejarah umat manusia dan kemanusiaan. Sebab itu Rasulullah s.a.w. menyebutkan pada zamannya, Baginda mampu melahirkan peribadi-peribadi cemerlang yang memiliki sahsiah unggul sebagai generasi penerus membangun umat manusia. Uniknya peribadi unggul ini pada awalnya terbina kekuatan dalaman yang tinggi. Faktor akidah yang mantap, iman yang teguh, akhlak yang mulia, jihad atau daya juang yang tinggi adalah antara sifat-sifat peribadi unggul. Faktor-faktor asas ini berjaya membentuk peribadi-peribadi yang yakin diri, berjiwa peneroka, tabah membangun dan memiliki upaya bijaksana mendepani kerenah zaman dan cabaran lingkungan. Ia dilambangkan oleh kehebatan para sahabat, para tabie-tabieen, para ilmuan dan kepimpinan yang akhirnya berupaya membangunkan sistem yang cemerlang dan menghasilkan tamadun gemilang. Peribadi-peribadi teladan dalam sepanjang hampir tujuh ratus tahun sejarah kegemilangan Islam, bermula dengan asas pembangunan akhlak mulia, kekuatan ilmu yang pelbagai dan akhirnya memiliki daya juang yang tinggi untuk melihat agama dan umatnya tampil sebagai umat contoh (khaira ummah) dan umat terbaik (ummatan wasata ) bagi umat-umat yang lain. Peribadi-peribadi teladan seperti Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat yang utama, iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali sehinggalah di kalangan para tabie-tabieen yang ramai jumlahnya, semuanya mempunyai misi yang satu, iaitu memperkasa umat dan tamadunnya supaya konsep rahmah alamiah atau manfaat kesejagatan itu berlaku terhadap umat manusia. Ia menjadi kenyataan kerana peribadi-peribadi unggul seperti Bilal ibn Rabbah, Saad ibn Waqqas, Tariq bin Ziyyad, Khalid ibn Walid, Umar ibn Aziz, al Makmun, al Mansur dan ramai lagi merupakan bukti kepimpinan unggul yang menghasilkan jejak-jejak tamadun unggul pula. Ia diperkukuh dengan peribadi-peribadi ilmuan seperti Ibn Sina, al Battani, Ibn Nafis, al Khawarizmi, az-Zahrawi, Ibn Firnas dan ramai lagi yang menjadikan ilmu dan jiwa tadabbur atau penerokaan sebagai landasan membangun tamadun dan membangun umat manusia. Daripadanya umat Islam maju dan orang Barat menempa kemajuan. Sayangnya, proses zaman dan faktor cabaran lingkungan di Eropah menyebabkan ilmu Islam tidak berkembang dalam acuannya, sebaliknya ia tersisih daripada nilai dan menjadi faktor memperkasa orang-orang Barat dalam sains dan teknologi dan akhirnya menyebabkan lahirnya pertembungan Barat dan Timur yang mencetuskan dendam Salibiyyah dan menyebabkan proses penjajahan terhadap umat Islam berlaku lebih tujuh ratus tahun sehinggalah mengambil bentuknya yang tersendiri sehingga hari ini. Ia menyebabkan umat Islam menjadi umat pengguna kepada cara hidup orang-orang Barat. Globalisasi yang berada di ambang kehidupan mereka, bakal menyebabkan mereka akan dijajah sepenuhnya sehingga hilangnya jati diri dan budaya, apalagi cabaran terbesar terhadap makna beragama. Para remaja yang merupakan generasi penerus harus mampu menggilap semula maksud peribadi unggul yang ingin dibangunkan, hatta dalam realiti masyarakat yang berbilang. Pertama, para remaja harus menginsafi bahawa sifat Islam itu adalah agama rahmah alamiah, iaitu mendukung faktor-faktor kesejagatan yang membawa kekuatan akhlak sebagai asas kesejahteraan manusia. Kedua, peribadi-peribadi unggul dalam sepanjang sejarah Islam amat mengutamakan ilmu pengetahuan. Asas maju dalam keadaan fitrah sentiasa menjadi pra syarat kemajuan dan pembangunan tamadun. Ketiga, Allah mengurniakan di negara-negara umat Islam kekayaan sumber hasil bumi yang sangat banyak untuk kemajuan ekonominya. Ia ditambah dengan jumlah umat Islam pada masakini melampaui jumlah 1.3 bilion. Bayangkan kalau jumlah sumber daya manusia yang ramai, hadir dalam sistem pendidikan yang integratif, ia bakal melahirkan modal insan yang memiliki kemampuan untuk mencetuskan perubahan dan kemajuan. Di kalangan mereka akan lahir sebahagian yang memiliki sahsiah unggul yang memiliki jiwa penerokaan yang tinggi dan mampu mengimbangkan kemajuan Barat dan Islam dalam acuan yang seimbang, lebih-lebih lagi kekuatan sumber hasil bumi berada di tangan mereka. Pilihan yang ada pada remaja ialah kembali membangun diri berasaskan perspektif unggul yang pernah ditempuh oleh peribadi-peribadi unggul terdahulu. Mereka juga mempelajari kekuatan tamadun Barat dan Timur dan mengambil manfaat berbanding yang berguna untuk dijadikan asas membangun berasaskan acuan sendiri. Globalisasi yang menjadi faktor pengukuh kepada proses pembaratan dalam bentuk baru, memerlukan peribadi unggul yang mampu memanfaatkan kemajuan sains dan teknologi dalam pelbagai bentuk. Ilmu dan ketrampilan menjadi faktor penting. Harus ada tekad di kalangan remaja Islam untuk mempelajari sebanyak mungkin keunggulan Barat dalam ilmu dan ketrampilan, dan dalam masa yang sama menggilap kefahaman Islam melepasi batas ritual semata dan memiliki kemampuan daerah-daerah tafsir Qurani yang lebih luas, supaya cakupannya mampu memberikan acuan baru yang lebih terarah. Asas yang sangat penting ke arah cita-cita ini ialah membangun tasawwur ilmu yang integratif sifatnya, di mana fokus kepada sains dan teknologi harus dilandasi sistem nilai yang bakal memberi arah kepada matlamat kehidupan dan kemajuan. Di Malaysia, sedang berlaku percubaan dan usaha terancang supaya para remaja atau generasi muda mendapat pendidikan yang lebih integratif seperti yang sedang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Negeri terhadap Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Menengah Integrasi, membangunkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) dan Kolej-Kolej Islam di peringkat negeri-negeri. Pihak-pihak swasta seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan TASKI, SRI, SEMI, Kolej Darul Hikmahnya, pihak Jemaah Islah Malaysia (JIM) dengan Sekolah Al Aminnya, UIAM dengan Sekolah Islam Antarabangsanya, Sekolah Islam Adni dan banyak lagi yang sedang tumbuh menawarkan pendekatan integratif untuk remaja dan generasi muda. Di sinilah pentingnya pihak kementerian dan pihak swasta dapat duduk berbincang dengan serius dan bijaksana bagaimana faktor kurikulum, metodologi pengajaran dan pembelajaran subjek-subjek agama ditinjau dan disusun kembali supaya dapat diintegrasikan dengan subjek-subjek lain yang amat relevan dengan faktor kemajuan dan perubahan hari ini. Sekiranya kurikulum agama yang memberikan asas nilai dapat dijadikan bahagian penting dalam binaan ilmu dan disiplin subjek ia bakal menghasilkan cara berfikir dan mind-set generasi muda yang lebih holistik atau menyeluruh. Mengajar matematik dan sains umpamanya dengan dipandu oleh asas membina faham ketepatan, keseimbangan dan akauntabiliti bakal mendidik generasi muda tentang pentingnya pendekatan empiris (uji-kaji dan pemerhatian) dibina atas asas fikir dan zikir. Ia bakal membentuk peribadi-peribadi unggul yang mengembangkan tradisi sains tetapi akur terhadap Pencipta. Inilah cabaran maju dan membangun dalam acuan sendiri untuk remaja hari ini. |
__._,_.___
__,_._,___
No comments:
Post a Comment