Oleh PROF DR. SIDEK BABA Rasa kepedulian ialah suatu sikap ambil tahu, peka terhadap apa yang berlaku, ambil kisah apa yang terjadi di sekitar kita, fikirkan hal orang lain, menghulur bantuan kepada yang memerlukan. Rasa kepedulian ialah suatu sikap bahawa kita hidup bermasyarakat bukan hidup sendirian. Kita adalah sebahagian dari masyarakat dan masyarakat sebahagiannya adalah kita. Pepatah kita ada menyebutkan jangan berlagak seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Jangan ikut resmi lalang, ikutlah resmi padi semakin berisi semakin tunduk. Ibarat aur dengan tebing saling topang menopang. Rasa kepedulian mendidik kita mengambil tahu apa yang berlaku di sekitar kita secara positif. Ambil tahu boleh mengatasi masalah yang ada dan rasa kepedulian memperlihatkan sikap positif ke arah menyumbang sesuatu yang baik dan berguna ke arah kebaikan bersama. Rasa kepedulian memang amat penting diamalkan oleh remaja. Sebahagian remaja kadang-kadang sudah terdidik dengan sifat sendirian, tidak peduli orang lain, hilang hormat kepada ibu bapa dan orang tua, hilang adab kepada jiran dan orang lain. Sikap sebegini tidak menyumbang ke arah pembinaan masyarakat. Bayangkan kalau di peringkat remaja lagi sudah ada sikap sendirian atau individulistik, apa harapan zaman dewasa remaja nanti sekiranya sikap itu tidak terpupuk di peringkat remaja lagi. Rapatnya kaitan rasa kepedulian dengan remaja bertujuan mendidik sikap remaja bahawa hidup ini memerlukan orang lain. Remaja akan berhubung dan berinteraksi dengan orang lain. Remaja apabila dewasanya nanti akan bercita-cita berumahtangga, beranak pinak dan berkeluarga. Ia menuntut adanya rasa kepedulian terhadap orang lain. Bermula dengan isteri atau suami dan anak-anak, anggota keluarga dan akhirnya kepada masyarakat. Bayangkan sekiranya remaja nanti berada di tempat kerja, rasa kepedulian amat dituntut. Sebagai pekerja kita berada dalam suatu suasana muafakat, kerjasama dan saling berinteraksi. Di sini perlunya rasa kepedulian yang positif supaya kita terus maju dan membangun. Ada juga rasa kepedulian terhadap perbuatan buruk seseorang yang menyebabkan timbul umpatan, keji-mengeji dan dan fitnah memfitnah. Memang benar apabila rasa kepedulian itu terbentuk secara negatif, ia melahirkan sikap negatif pula. Rasa kepedulian mestilah berasaskan sifat ikhlas dan tulus supaya ambil tahu kita tentang orang atau apa yang berlaku sekitar kita adalah pancaran jiwa bersih untuk membantu dan menolong di mana yang perlu. Umpatan, kejian, dan fitnah memfitnah bukanlah cara yang diajar oleh Islam untuk memanjangkan rasa kepedulian terhadap orang lain. Islam melarang kita mengaibkan orang lain. Fitnah terhadap orang lain ibarat meratah dagingnya. Rasa kepedulian mestilah dalam batas pengertian yang mendalam, keinsafan yang tinggi bahawa sebagai hamba Allah bantuan, sumbangan, derma adalah diperlukan dalam keadaan-keadaan tertentu. Bayangkan sekiranya kita ditimpa bencana, kesusahan dan kepayahan hidup pasti kita memikirkan bantuan dan pertolongan orang lain. Sekiranya rasa kepedulian itu subur pada diri remaja ia menjadi asas remaja membina sikap tidak sombong dan tidak angkuh dengan apa yang ada pada dirinya. Bayangkan sekiranya rasa kepedulian itu teguh pada remaja, bila menjadi dewasa nanti ilmu yang ada digunakan menyumbang terhadap orang lain, kepakaran yang ada memudahkan pihak yang memerlukan, pengalaman yang banyak membantu kerja-kerja sukarelanya. Amalan begini boleh memupuk rasa muhibbah dan kemanusiaan tinggi sesama manusia. Pertolongan Pertama remaja perlu merasakan bahawa ada orang lain selain dirinya dalam hidup ini. Yang terdekat sekali ialah ibu dan ayah serta adik-adik dan anggota keluarganya. Ayah dan ibu pasti memerlukan pertolongan dan bantuan dalam menguruskan rumah. Sekiranya terdapat lantai rumah kotor, bilik air tidak bersih, rumput di luar agak panjang, sampah di laman banyak, parit di luar rumah tersumbat, harus ada rasa ingin menolong melakukan kerja tanpa disuruh oleh ayah dan ibu. Bayangkan sekiranya ada kepedulian membantu ibu dan ayah di rumah, ayah dan ibu akan rasa bersyukur mempunyai anak yang bersikap peduli. Bila merasa mempunyai sikap peduli, rasa kepedulian akan dipanjangkan terhadap jiran dan terhadap orang lain. Kedua, remaja harus insaf bahawa ia akan tua dan dewasa dan memerlukan pertolongan orang lain. Sekiranya remaja sudah terbina dengan asas kepedulian yang baik, dengan sendirinya akan lahir masyarakat yang terbina dengan sifat kasih sayang dan tolong menolong ke arah kebajikan dan kebaikan bersama. Ketiga, remaja harus ada rasa kepedulian tentang nasib bangsa dan umat. Remaja hari ini harus sensitif merasa dan memikirkan bahawa kesenangan yang diterima pada hari ini adalah hasil usaha orang-orang yang terdahulu. Apakah remaja melihat kesenangan adalah haknya atau merasakan ia hasil dari titik peluh, pengorbanan dan perjuangan orang-orang yang terdahulu darinya. Kalau remaja merasakan bahawa perlunya wujud kesinambungan perjuangan maka rasa kepedulian terhadap perjuangan dan pengorbanan masa silam perlu dikongsi untuk mengatur strategi bijaksana bagi perjuangan masa depan. Remaja harus ada rasa peduli terhadap hal bahasa, hal agama, hal budaya dan hal pendidikan dan hal ekonomi-politik yang sangat penting bagi bangsa dan umatnya. Bagi negara Malaysia bangsa dan umatnya adalah faktor teras penentu keselamatan dan kesejahteraan negara Malaysia itu sendiri. Global Walaupun persiapan global menentukan keselamatan dan kesejahteraan negara Malaysia itu sendiri. Walaupun persiapan global perlu dibuat tetapi kepedulian remaja harus menjadikan kekuatan sendiri sebagai teras dengan tidak menolak kepentingan mengambil, menerima dan melakukan penyesuaian terhadap faktor yang baik dari orang lain. Remaja yang prihatin terhadap perubahan akan sentiasa mempersiapkan dirinya dengan ilmu yang pelbagai, khususnya yang bersifat sezaman dan relevan dengan keperluan hari ini. Peluang-peluang pendidikan yang banyak, latihan teknikal, mekanikal dan vokasional yang sedang ditawarkan harus membangunkan minat remaja bahawa tanpa ilmu dan ketrampilan tidak mungkin para remaja mampu membina dan mempersiapkan diri untuk bersaing pada masa depan. Corak ilmu yang pantas berubah dan berkembang, corak ketrampilan yang semakin canggih akan sentiasa memburu zaman. Bayangkan kalau remaja tidak prihatin atau ambil peduli tentang apa yang berlaku dan hanya berfikir secara mediocre atau rileks tentang situasi dan fenomena, hari depan remaja akan terpinggir dalam arus persaingan dan perlumbaan yang sengit. Contoh yang terbentang luas di hadapan para remaja semua ialah jumlah yang terlibat dalam penagihan dan salah guna dadah kini amat besar jumlahnya. Jumlah yang terlibat dengan jenayah sosial dan salah laku sosial yang serius juga semakin meningkat. Sehingga kini belum ada suatu kaedah yang mampu mengatasi kemelut tersebut melainkan kembali kepada keinsafan yang mendalam di kalangan remaja yang belum terlibat bahawa jalan keluar dari dadah adalah amat sempit. Jalan keluar dari gejala jenayah dan salah laku sosial juga tidak terbuka melainkan kembali kepada kepedulian terhadap agama dan akhlak. Bayangakan harta insan yang telah rosak, terjebak dan terlajak dengan jumlah yang amat besar dengan bentuk cabaran intelektual, nilai, sosio-ekonomi yang begitu sengit tidak mungkin generasi yang lemah mampu menghadapi saingan tersebut dan akhirnya kita akan dijajah lagi dalam bentuk yang lebih hina. Sekiranya keinsafan ini dimiliki oleh remaja hari ini rasa kepedulian terhadap diri, keluarga, masyarakat dan rakan sebaya akan tetap menjadi agenda utama. Di mana pun para remaja berada fikirkan bahawa ambil tahu hal bangsa dan agama, ambil tahu hal ilmu dan pendidikan, ambil tahu hal ekonomi dan kepimpinan, ambil tahu hal jati diri dan ketahanan adalah wajib. Jadikan semua itu dalam strategi jihad ilmu, jihad pendidikan, jihad ekonomi, jihad sosio-budaya dan jihad kepimpinan di mana para remaja bakal menyumbang ke arah cita-cita besar pembangunan bangsa dan umat. |
__._,_.__
__,_._,___
No comments:
Post a Comment