Oleh ZUARIDA MOHYIN
ISLAM merupakan agama yang tidak pernah meminggirkan soal keindahan dan kecantikan, sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis sahih yang bermaksud: Daripada Ibnu Masud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah itu indah dan suka kepada keindahan. (Riwayat Muslim dan At-Tirmizi)
Ini menjelaskan persepsi Islam berkaitan gambar, lukisan dan patung hanya sekadar menambahkan kecantikan persekitaran, `kesedapan' pada penglihatan malah menjangkau kepada ketenangan dan ketenteraman perasaan.
Apa yang menjadi persoalan adalah perasaan was-was segelintir umat Islam terhadap apa yang dibolehkan dan apa yang dilarang mengenai ukiran-ukiran dan gambar-gambar yang digunakan sebagai perhiasan.
Lumrahnya, ukiran-ukiran berunsurkan flora dan pemandangan dibolehkan. Ia adalah di antara motif-motif yang masyhur di dalam agama Islam.
Manakala, ukiran-ukiran yang konsepnya menyerupai manusia atau binatang yang berjisim, tidak dibenarkan atas alasan tertentu.
``Islam melarang perkara sebegini kerana objektif utama dalam Islam adalah untuk melahirkan rasa ketenangan, keharmonian dan kemanusiaan, bukannya untuk ditaqdiskan (diagung-agungkan) dan disembah.
``Malah ia hanyalah satu pembangunan yang lahir daripada kreativiti pengukir berdasarkan sumber inspirasi daripada al-Quran, sekali gus melambangkan rasa syukur atas kekuasaan Allah,'' balas Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Anisah Abdul Ghani mengulas pandangan Islam berkaitan persoalan yang ditimbulkan kepadanya.
Malah tambah beliau, yang dimaksudkan patung di sini ialah ia diukir ataupun dibentuk sama ada pada tembaga, kayu dan bahan-bahan lain.
Patung di sini juga bermaksud benda yang berjisim atau bertubuh, atau memiliki bayang yang sempurna sifatnya. Ini sudah jelas hukumnya haram. Para fuqaha menegaskan lagi, pengharaman ini juga merangkumi orang yang membuat dan yang menyimpannya.
Ia diperkukuhkan lagi dengan hadis sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: Seberat-berat seksaan dan azab di sisi Allah ialah orang yang melukis atau mengukir gambar dengan tujuan dijadikan penyembahan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jadi, patung yang dibuat menyerupai manusia dan binatang yang sempurna tidak dibolehkan kerana padanya terdapat unsur-unsur menyerupai ciptaan Allah.
Selain itu, tegas Dr. Anisah, dalam surah Ali Imran ayat 6 Allah s.w.t. berfirman: Dialah yang membentuk kamu di dalam rahim sebagaimana dikehendaki-Nya. Tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Kata Dr. Anisah yang ditemui di pejabatnya, ulama melihat hal ini dari sudut tujuan ia dilakukan, sama ada untuk mentaqdis (mengagung-agungkan), penyembahan, persembahan, perhiasan atau lainnya.
``Ia juga tergantung kepada niat si pembuat ukiran tersebut. Kalau yang membuatnya tidak ada niat menandingi ciptaan Allah, memang tidaklah sampai kepada menerima seksaan yang berat itu.
Keraguan
``Tetapi sekiranya ada unsur mengagungkan atau mendewa-dewakan, ia sah tidak boleh,'' ujar beliau.
Bagaimana pula dengan keraguan tentang hadiah atau trofi yang mempunyai bentuk lembaga manusia di atasnya?
Menurut Dr. Anisah, dalam hal ini, sekiranya ia sempurna sifatnya, maka hukumnya jatuh kepada haram disimpan atau dimiliki.
Pun begitu, bagi patung berbentuk manusia yang tidak cukup sifatnya tetapi masih ada unsur mendewakan atau mengagungkan, ia juga haram.
Menyentuh masalah gambar pula, jelas Dr. Anisah, ia boleh dibahagikan kepada dua, iaitu gambar yang dilukis dan gambar foto yang sekarang disebut sebagai fotografi.
``Gambar fotografi diambil menggunakan sinaran cahaya matahari. Gambar sebegini tidak ada pada zaman Rasulullah. Ia tidak boleh dikiaskan. Sedangkan gambar yang dilukis dibimbangi ada unsur menyerupai atau menandingi ciptaan Allah. Di dalam fotografi tidak ada unsur sebegitu,'' katanya.
Jadi dalam hal ini, beliau mengambil pendirian Syeikh Muhammad An-Najdi, salah seorang ulama besar dan ketua ulama Mazhab Syafie di Mesir pada zamannya yang memfatwakan bahawa harus menggunakan gambar foto kerana gambar-gambar itu serupa dengan gambar di dalam cermin atau serupa dengan bayangan gambar dalam air.
Begitu juga fatwa Syeikh Muhammad Bakhit, seorang ulama besar dalam Mazhab Hanafi dan pernah menjawat sebagai Mufti Kerajaan Mesir yang memfatwakannya sebagai harus juga.
Terang Dr. Anisah lagi, menggambar dengan alat-alat fotografi ini ibarat menangkap bayangan dengan cara-cara termaklum. Dengan teknik ini, ia sama sekali tidak termasuk dalam kategori mewujudkan sesuatu gambar atau bentuk yang belum ada sebelumnya atau belum tercipta.
``Dalam fotografi, sememangnya tidak ada unsur-unsur yang dibimbangi dan diragui untuk menandingi ciptaan Allah s.w.t.
``Jadi mengambil gambar secara fotografi tidak dilarang, cuma sekiranya gambar yang diambil itu ada unsur maksiat seperti gambar yang mendedahkan aurat tubuh badan, hukumnya tetap haram,'' katanya.
Dosa ini juga akan ditanggung oleh mereka yang bekerjaya sedemikian dan melibatkan orang yang menyimpan, menggantung dan melihat gambar tersebut.
Mengulas hadis Sahih Bukhari bahawa Abu Thalhah berkata, ``Aku telah mendengar Rasulullah bersabda, ``Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan gambar.''
Jelas Dr. Anisah, ia merujuk kepada mendapatkan rahmat dan berkat daripada Allah s.w.t.
Berkaitan dengan menggantung gambar pemimpin atau tokoh-tokoh terkemuka pula, kata Anisah ia perlu dilihat kepada ciri-ciri pemimpin tersebut, adakah ia seorang yang fasiq serta ada unsur mentaqdis atau mengaggungkan, kalau ada jelas tidak boleh.
Pun begitu, ia bergantung kepada niat seseorang. Begitu juga halnya dengan gambar keluarga, adakah tujuan kita mempamerkannya dengan tujuan mengaggungkannya atau sekadar kenangan?
Berbeza dengan budaya agama Buddha yang menggantung gambar nenek moyang atau ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia untuk meminta restu dan meminta doa.
Dr. Anisah sempat berpesan, menghias rumah dengan patung atau lukisan yang diharamkan penggunaannya adalah salah satu sebab rumah berkenaan tidak dimasuki oleh malaikat yang membawa rahmat dan keberkatan serta memohonkan keampunan kepada orang-orang yang berada di dalam rumah yang dimasukinya.
Diriwayatkan daripada Abu Thalhah r.a. bahawa Rasulullah bersabda yang maksudnya:
Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya gambar (patung atau lukisan bernyawa). (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment