Sunday, April 17, 2011

Berdakwah zaman mencabar harus bijaksana

ALLAH SWT menurunkan wahyu kepada Rasulullah SAW untuk disampaikan kepada manusia. Rasulullah SAW menghazamkan makna al-Quran dalam peribadinya sehingga isterinya, Saiditina Aishah menghubungkan akhlak Rasulullah sebagai akhlak al-Quran.

Dari situ lahirlah qudwah atau contoh untuk dijadikan sumber ikutan manusia. Di samping sifat siddiq dan amanah Rasulullah SAW, Baginda membuktikan menyampaikan (tabligh) kebenaran itu menjadi kewajipan paling utama. Al-Quran tidak diturunkan dalam kekosongan.

Al-Quran turun berdepan dengan hakikat kehidupan manusia. Ayat Makkiyyah atau Madaniyyah turun dalam konteks sosiobudaya, realiti sistem kepercayaan dan gaya hidup yang memerlukan metodologi amat serasi. Di Makkah ayat yang menyentuh aspek akidah menjadi keutamaan dan di Madinah ayat mengenai syariah dan cara hidup menjadi landasan.

Al-Quran adalah mukjizat Allah yang membawa kebenaran untuk difahami dan diterima manusia. Ia adalah amanah untuk disampaikan kepada seluruh manusia. Al-Quran dalam Surah al-Imran, ayat 104, memberikan asas perlu ada sekumpulan manusia menyeru, mengajak, memanggil, melakukan tabligh atau dakwah iaitu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Rasulullah SAW juga memberikan pedoman mengenai metodologi dakwah iaitu bijaksana memahami realiti yang ada, berikan hujah terbaik dan jika berlaku perbezaan pendapat, lakukan dengan baik.

Surah al-Asr juga memberikan asas supaya dalam menyampaikan kebenaran, kesabaran menjadi pedoman terbaik. Islam adalah agama dakwah. Rasulullah SAW, sahabat, tabie dan ulama adalah pendakwah serta pendidik. Wujudnya usaha dakwah dengan kegigihan, kebijaksanaan dan pengorbanan di kalangan mereka, menyebabkan Islam sampai ke alam Melayu dan berkembang sehingga ke hari ini.

Kerja dakwah adalah tugas mulia. Realiti masyarakat sifatnya dinamik berubah. Faktor persekitaran dan perkembangan semasa, sama ada dalam ilmu, maklumat, teknologi dan hiburan banyak memberi kesan terhadap gaya serta cara hidup manusia.

Oleh itu, persiapan pendakwah dari segi ilmu, maklumat dan metodologi juga perlu canggih supaya wujud keseimbangan antara faktor menarik dan menolak dengan faktor mengajak mereka kembali ke jalan benar.

Sebagai dai' dan murabbi, kita tidak boleh lari atau berkecuali daripada keadaan yang ada. Kebijaksanaan harus dicari, metodologi dakwah harus diteroka, kreativiti harus digarap supaya antara faktor yang dinamik berubah mampu diimbangi asas kefahaman Islam yang mampu membimbing manusia ke jalan ilmu dan syarak.

Rasulullah SAW mendekati bapa saudaranya, Abu Talib dengan penuh hemah dan kebijaksanaan. Baginda menyampaikan maklumat terbaik kepadanya. Usaha melakukan yang terbaik adalah tugas dai' dan murabbi tetapi harus diinsafi bahawa yang memberikan hidayah adalah Allah SWT.

Hakikatnya, cabaran terhadap manusia adalah sama. Pada zaman jahiliyah, jenis manusia adalah ingkar terhadap wahyu Allah. Sifat jahiliyah adalah sifat sepanjang zaman. Keingkaran manusia juga berlaku pada masa kini, malah boleh berlaku pada masa depan. Tanpa dakwah dan tarbiyah, manusia akan bertambah jauh daripada kebenaran.

Yang membezakan zaman lalu dengan zaman kini ialah asas mekanistik yang berbentuk teknologi. Pada hari ini, kekuatan teknologi media cetak, elektronik, sistem komunikasi dan telekomunikasi memberi kesan hebat kepada penonton dan pengguna. Usaha menyampaikan amanah Allah juga memerlukan kecanggihan.

Jika tidak, dakyah atau usaha pihak yang sedang melakukan tipu daya dan penyesatan dalam pelbagai cara akan bertambah subur dan memberi kesan terutamanya kepada generasi muda.

Generasi muda Islam masa kini tidak sama dengan generasi Islam masa lalu. Mereka terdedah dengan perkara baru yang mencabar sehingga setengahnya cair dan hanyut dengan budaya popular Barat yang menyebabkan kerosakan kepada minda, akhlak dan gaya hidup. Jika kerosakan terus berlaku, bayangkan jenis generasi yang bakal lahir bagi menawarkan kepimpinan Islam pada masa depan.

Keadaan itu menuntut ketrampilan pendakwah melakukan tabligh atau dakwah dan tarbiyyah dai di gelanggang. Ada setengah umat Islam semacam putus asa dengan apa yang sedang berlaku dan menyerahkannya kepada takdir. Tetapi, perlu ada di kalangan umat melihat situasi sebegini sebagai cabaran melakukan dakwah.

Sekitar 70-an dan 80-an, dakwah lebih banyak menumpu kepada perubahan pemikiran dan hati. Tetapi, hari ini pendekatan dakwah harus menyesuaikan diri dengan kecanggihan teknologi yang sangat memberi kesan terhadap cara hidup manusia.

Sedikit dakwah yang berlaku kadang-kadang cair dengan dakyah yang berjalan. Ia menyebabkan sebahagian generasi muda menjadi celaru dan keliru kerana dakwah dan dakyah membawa dua sistem nilai berbeza. Yang satu mengajak manusia melakukan kemakrufan dan satu lagi menyediakan jalan kemungkaran.

Dekad terdahulu, kita berdepan dengan masyarakat daif ilmu dan maklumat. Hari ini, kita berhadapan dengan masyarakat berpelajaran, kelas menengah yang semakin meningkat, arus kemewahan dan keselesaan yang ketara. Ia mencabar pendakwah mencari jalan terbaik bagaimana dakwah boleh berjalan.

Jika usaha dakwah diolah dengan bijaksana, sama ada melalui laman web, internet, lama sembang, blog, penghasilan buku dan karya kreatif mahupun melakukan komunikasi menerusi perbincangan, pertukaran pendapat, seminar dan bengkel dan ziarah, ia boleh meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap Islam.

__._,_.___

__,_._,___

No comments:

Post a Comment