Thursday, March 7, 2019

Kes terlebih sayang suami

KES TERLEBIH SAYANG SUAMI.

Saya biasa diajukan soalan seperti berikut:

"Masa saya beli rumah ni, letak dua nama dalam geran, nama saya dan suami. Tapi loan saya bayar sorang-sorang,  potong gaji saya bulan bulan. Suami sedikit pun tidak bantu.

Sekarang saya dan suami dah tak tinggal serumah lagi. Ada cara tak untuk saya tukar nama rumah ni pada nama saya seorang sahaja.?

"Suami pulak kata nak tuntut hak pada rumah tersebut sebab katanya nama dia ada dalam geran. Dia suruh saya jual rumah tersebut tetapi saya tak mahu"

"Macam mana ya tuan, apakah cara untuk selesaikan masalah saya ini?"

Isu ini saya kategorikan sebagai "Kes terlebih sayang suami". Di mana akibat terlalu sayang kepada suami, diletaknya nama suami dalam geran semasa beli rumah tersebut, tetapi loan dia yang bayar sorang-sorang.

Setelah berpisah, suami tanpa segan silu tuntut hak terhadap rumah tersebut sebab katanya beliau ada hak terhadap rumah tersebut kerana nama beliau ada dalam geran.

Jika keadaan ini terjadi, bagaimanakah cara untuk anda menyelesaikannya terutamanya apabila suami enggan bertolak ansur dan enggan bekerjasama untuk selesaikan kes tersebut secara baik.

Sebenarnya,  ada jalan penyelesaiannya dari segi perundangan untuk menyelesaikan kemelut di atas. Caranya:

1. Jika anda telah bercerai, melalui peguam syarie yang dilantik, anda boleh failkan permohonan di Mahkamah Syariah untuk satu perintah pengesahan harta sepencarian.

Anda hendaklah mengemukakan bukti-bukti di Mahkamah Syariah bahawa rumah tersebut di biayai oleh anda seorang tanpa penglibatan sumbangan daripada suami.

2. Anda juga boleh memohon satu perintah agar bahagian suami yang ada di dalam geran tersebut di pindahmilikkan kepada anda dan satu perintah untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah menandatangani Borang Pindahmilik untuk memindahmilikkan bahagian suami tersebut kepada anda.

3. Sekiranya rumah tersebut telah habis pembiayaan dengan bank, dengan perintah Mahkamah Syariah tersebut mereka boleh terus menandatangani Borang Pindah milik itu untuk memindahmilikkan bahagian suami tersebut kepada anda. Dan borang pindahmilik tersebut bolehlah selepas pembayaran duti stem pindahmilik dibuat, terus didaftarkan di Pejabat Tanah yang berkenaan.

4. Jika rumah tersebut masih belum habis pembiayaan dengan bank, dengan perintah daripada Mahkamah Syariah tersebut anda boleh memohon daripada bank untuk "meminjam sementara" geran asal untuk membolehkan pindah milik dibuat kepada nama anda.

Dan geran asal tersebut hendaklah dikembalikan semula kepada bank setelah pindah milik kepada nama anda seorang didaftarkan dalam geran tersebut.

5. Setelah didaftarkan di pejabat tanah, kini jadilah rumah tersebut milik anda seorang sahaja.

Jom pakat share. Moga dapat dijadikan panduan.

Terima kasih,

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

No comments:

Post a Comment