*Tazkirah Jiwa Siri 529*
*CABARAN DAKWAH KHULAFA AR-RASYIDIN : UMAR AL-KHATTAB (Siri 67)*
*PEPERANGAN BUWAIB*
Khalifah Umar al-Khattab telah menghantar para pemidatonya ke seluruh pelusuk Arab mengajak mereka bergabung dengan tentera Islam untuk memerangi Parsi. Seruan ini telah disambut oleh pelbagai kabilah termasuk dari mereka yang menganut agama Nasrani. Ketua-ketua kabilah segera datang ke Madinah bertemu dengan Umar al-Khattab dan memberi kesetiaan untuk turut berperang.
Menurut riwayat ahli sirah yang masyhur panglima Muthanna bin Haritsah hanya mengalami kecederaan dalam peperangan al-Jisru dan beliau mengetuai peperangan Bawaib. Beliau masih berupaya memimpin perang walaupun keadaan kecederaannya yang belum pulih sepenuhnya. Beberapa orang tokoh perang yang hebat telah bersama beliau dalam peperangan ini adalah Bisyir bin Ubaidullah dan Mas’ud bin Haritsah.
Di pihak pasukan tentera Parsi pula, panglima Rustum telah melantik Mehran al-Hamdani mengetuai pasukan tentera. Peperangan ini meletus di satu tempat bernama Buwaib berdekatan dengan sungai Furat yang juga terdapat satu jambatan yang merentanginya. Tanggal 13 Hijrah pada bulan Ramadan berlakunya peperangan ini sehingga panglima Muthanna bin Haritsah telah mengarahkan para tenteranya membatalkan puasa.
Sama seperti peperangan sebelum ini tentera Islam telah ditawarkan sama ada mereka yang hendak menyeberangi jambatan menyerang tentera Parsi atau sebaliknya tentera Parsi yang menyeberang jambatan dan bertempur dengan tentera Islam. Kali ini panglima Muthanna bin Haritsah telah meminta tentera Parsi yang menyeberang dan mereka menanti untuk berperang. Pasukan tentera Parsi telah datang dengan tentera bergajah juga dalam peperangan ini.
Kali ini panglima tentera Islam Muthanna bin Haritsah telah menyusun tentera dalam beberapa lapisan. Beliau membakar semangat para tenteranya dengan ucapannya,
“Wahai tentera-tenteraku yang berani! Janganlah ada pada diri kamu kegentaran kerana ianya akan mengentarkan seluruh bangsa Arab.”
Kemudian beliau menyambung ucapannya,
“Aku sungguh berharap kepada kamu semua janganlah pasukan kita hancur di tangan kita sendiri. Apa yang menyenangkan hati ku pada hari ini pasti menyenangkan hati kamu semua.”
Beliau juga memberi arahan bahawa apabila beliau melaungkan takbir sebanyak empat kali barulah tentera Islam mula menyerang. Namun pihak musuh telah menyerang sebelum Muthanna bin Haritsah habis bertakbir yang menyebabkan berlaku sedikit kekalutan kepada pasukan tentera Islam. Serangan Parsi dalam keadaan ini telah meningkatkan kemarahan Muthanna bin Haritsah.
Peperangan meletus dengan sengit, tentera Parsi menyeberang jambatan sungai Furat dan mula melakukan serangan.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir
25hb. April 2018
9 Syaban 1439H
Jeddah Saudi Arabia
No comments:
Post a Comment