Monday, April 23, 2018

CABARAN DAKWAH KHULAFA AR-RASYIDIN : UMAR AL-KHATTAB (Siri 64)

*Tazkirah Jiwa Siri 526*

*CABARAN DAKWAH KHULAFA AR-RASYIDIN : UMAR AL-KHATTAB (Siri 64)*

*PEPERANGAN AL-JISRU (JAMBATAN)*

Setelah memenangi peperangan sebelum ini Abu Ubaid bin Mas’ud terus mara menuju ke sungai Furat untuk menyerang Parsi. Berita kemaraan tentera Islam ini telah meningkatkan kemarahan Kisra Parsi, Buran Dokht dan Panglima Rustum. Bagi menghadapi tentera Islam ini panglima Rustum telah membentuk satu pasukan tentera yang dipimpin oleh panglima Bahman Jadhuweh dan panglima Jalinus yang melarikan diri dalam perang sebelum ini. Kedua-dua pasukan ini  bergabung dengan jumlah tentera yang besar bagi menghadapi kemaraan tentera Islam. Seterusnya pasukan ini terus bergerak menuju ke tebing sungai Furat. Setibanya di sana mereka sudah dapat melihat pasukan tentera Islam yang berada di seberang sungai Furat yang di pisahkan dengan satu jambatan.

Panglima Bahman Jadhuweh telah mengirimkan utusannya untuk memberi pilihan kepada tentera Islam dengan lagak yang sombong. Pesanannya,

“Apakah kamu yang menyeberang atau kami? Kami akan membiarkan kamu menyeberang sehingga sampai ke seberang.”

Dalam erti kata lain kalau tentera Islam mahu menyeberang jambatan mereka akan menanti untuk berperang dan jika tentera Islam tidak mahu menyeberang jambatan maka tentera Parsi yang akan menyeberang dan memerangi tentera Islam.

Tawaran ini telah menimbulkan beberapa perbezaan pendapat dari kalangan pasukan tentera Islam. Abu Ubaid bin Mas’ud lebih cenderung untuk menyeberangi jambatan sungai Furat dan menghadapi tentera Parsi yang jumlahnya sangat ramai, tambahan pula memiliki pasukan tentera bergajah. Kata Abu Ubaid bin Mas’ud,

“Jangan biarkan mereka menunjukkan diri mereka lebih berani menghadapi kematian daripada kita. Kitalah yang akan menyeberang kepada mereka.”

Pandangan ini tidak dipersetujui oleh Muthanna bin Haritsah dan juga Salit bin Qais yang merupakan seorang Sahabat ahli Badar. Mereka berpendapat menyeberang jambatan dan menghadapi tentera Parsi dengan tentera bergajah akan menyebabkan mereka tewas. Umat Islam belum pernah lagi berperang dengan Parsi dalam keadaan persiapan musuh yang begitu besar. Pandangan ini telah ditolak oleh Abu Ubaid bin Mas’ud dan sebagai ketua yang memimpin pasukan perang keputusannya wajib dipatuhi.

Akhirnya tentera Islam mula menyeberang jambatan sungai Furat sebagaimana yang telah diarahkan. Panglima  Bahman Jadhuweh melihat tentera Islam yang masih belum tersusun menyeberangi jambatan, lalu dia segera mengarahkan tentera Parsi supaya terus menyerang. Peperangan berlaku dengan sengit dalam keadaan pasukan tentera Islam belum bersedia. Tambahan pula setelah menyeberangi jambatan laluan menjadi sempit.

Pasukan tentera bergajah mula menyerang dengan gajah-gajah yang telah dipakaikan loceng telah membunyikan bunyi yang bising. Kesan dari bunyi loceng ini telah menakutkan pasukan berkuda tentera Islam. Kuda-kuda yang ditunggangi sudah tidak dapat dikawal dan berundur tidak mahu mara menuju musuh.

Dalam keadaan yang kelam kabut ini, Abu Ubaid bin Mas’ud mengarahkan agar pasukan berkuda turun dari kuda dan menyerang pasukan tentera bergajah dengan memotong pengikat tempat duduk tentera bergajah supaya jatuh. Bahkan gajah-gajah juga ditikam bagi membunuhnya. Tindakan ini telah menyebabkan keadaan semakin huru hara dan gajah-gajah ini mula mengamuk. Abu Ubaid bin Mas’ud lantas menyerang seekor gajah besar bewarna putih dengan memotong belalainya. Apakah yang terjadi?

Bersambung esok. Insya Allah.

Ust. Sabir
22hb. April 2018
6 Syaban 1439H
Makkah al-Mukarramah

No comments:

Post a Comment