*Tazkirah Jiwa Siri 531*
*CABARAN DAKWAH KHULAFA AR-RASYIDIN : UMAR AL-KHATTAB (Siri 69)*
*PEPERANGAN QADISIYYAH*
Kekalahan tentera Parsi dalam peperangan Buwaib telah menyebabkan berlaku pertikaian kepimpinan di dalam istana Parsi. Pergolakkan kepimpinan Kisra telah menyebabkan Raja Boran Dokth diturunkan dari tahta pemerintahan Parsi. Kekalahan peperangan dengan Islam diletakkan kepada Kisra. Lalu diangkat seorang pemuda menjadi Raja yang baru iaitu namanya Yedzajir III. Usia Kisra baru ini menurut Abu Hanifah an-Danawari ialah 16 tahun manakala menurut Imam at-Tabari usianya 20 tahun. Kerajaan Parsi kembali stabil setelah perlantikkan Kisra yang baru ini dan mereka mula menyusun kembali strategi bagi menghadapi kemaraan tentera Islam.
Panglima Muthanna bin Haritsah mengikuti dengan terperinci perkembangan pergolakkan kepimpinan di istana Parsi. Beliau sentiasa bersedia dengan apa jua kemungkinan yang akan berlaku dengan perubahan Kisra Parsi. Segala maklumat yang diketahui segera disampaikan kepada Khalifah Umar bin al-Khattab di Madinah. Setelah mendengar segala informasi dari Iraq tentang Parsi, lalu Khalifah Umar al-Khattab ingin sekali memimpin pasukan perang ke Iraq namun para Sahabat yang kanan membantah hasratnya. Bagi mereka memadai Khalifah mentadbir di Madinah dan urusan peperangan diserahkan kepada mereka.
Setelah mendengar pandangan para Sahabat, maka Khalifah Umar al-Khattab bersetuju untuk terus memimpin di Madinah. Beliau seterusnya telah melantik seorang Sahabat iaitu Saad bin Abi Waqas untuk memimpin satu pasukan perang untuk menuju ke Iraq dan bergabung dengan tentera Muthanna bin Haritsah. Ketika itu Saad bin Abi Waqas baru sahaja kembali dari Hawazin dengan tugas memungut zakat. Saad bin Abi Waqas terus bersiap mengetuai satu pasukan tentera yang berjumlah 4000 orang untuk menuju ke Iraq. Sebelum berangkat Khalifah Umar al-Khattab telah memberikan amanatnya kepada beliau,
“Wahai Saad! Janganlah kamu terpesona, sekalipun kamu bapa saudara Rasulullah. Sesunggunya Allah tidak menghapus suatu kejahatan dengan kejahatan. Tetapi Allah menghapus kejahatan dengan kebaikan. Wahai, Saad! Sesungguhnya tidak ada hubungan kekeluargaan antara Allah dengan seseorang melainkan dengan mentaati-Nya. Setiap manusia sama sahaja di sisi Allah, sama ada dia bangsawan ataupun rakyat jelata. Allah adalah Tuhan mereka dan mereka semuanya adalah hamba-hamba-Nya. Tinggi atau rendahnya seseorang hanyalah kerana taqwa dan seseorang memperolehi kurniaan dari Allah adalah kerana ketaatannya. Perhatikanlah cara Rasulullah yang kamu telah ketahuinya, maka tetaplah ikuti cara Baginda itu. Inilah amanah aku kepada kamu. Sekiranya kamu mengambil acuh tidak acuh dan membelakanginya maka gugurlah amalan kamu. Tetapi aku yakin kamu akan bersikap bijaksana di dalam menghadapi tentera yang kamu pimpin.”
Amanat ini sangat dalam maksudnya, segala tindakan mestilah berpaksi kepada Allah SWT. Khalifah mengingatkan tentang tanggungjawab melaksanakan kebaikan. Begitu juga diingatkan kemuliaan bukanlah kerana keturunan tetapi adalah ketaqwaan. Semua manusia sama sahaja di sisi Allah SWT. Cara yang paling selamat dalam mengharungi kehidupan adalah mengikut panduan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ust. Sabir
27hb. April 2018
11 Syaban 1439H