Thursday, November 24, 2016

Sedekah Uthman Yang Tiada Putusnya

Salah seorang sahabat nabi, Sayyidina Uthman bin Affan r.a adalah seorang ahli perniagaan yang kaya raya, baik hati, pemurah dan seorang yang dermawan. Beliau juga berjasa dalam membukukan Al-Quran. Ternyata sehingga sekarang beliau masih memiliki akaun di salah sebuah bank di Arab Saudi. Malah akaun dan bil elektriknya juga masih atas nama beliau!

Bagaimanakah cerita Khalifah ketiga yang memerintah daripada tahun 644 (umur 69-70 tahun) hingga 656 (selama 11-12 tahun) yang sehingga kini beliau mampu memiliki hotel berhampiran Masjid Nabawi?

Diriwayatkan semasa zaman Nabi Muhammad s.a.w, kota Madinah pernah mengalami zaman kemarau sehingga sukar bagi mendapatkan air bersih. Satu-satunya sumber air yang tinggal ketika itu adalah sebuah telaga bernama *Bi’ru Rummah* (telaga pemanah) yang sangat besar dan dalam serta airnya tidak pernah kering. Rasanya sama seperti air dari telaga zam-zam.

Oleh kerana orang Islam (kaum Muhajirin) sudah terbiasa minum air zam-zam di Makkah. Mereka sangat berhajat kepada air itu dan sering ke telaga yang dimiliki oleh seorang Yahudi. Maka Yahudi tersebut telah bertindak menjual air dengan harga yang sangat mahal. Kaum Muslimin dan penduduk Madinah dengan tiada pilihan lain, terpaksa membeli air bersih dari orang Yahudi itu.

Prihatin atas keadaan umatnya, Rasulullah s.a.w kemudian bersabda, *_“Wahai Sahabatku! Sesiapa sahaja di antara kamu yang menyumbangkan hartanya hingga dapat membebaskan telaga itu, lalu mendermakannya untuk umat, maka akan mendapat Syurga AllahS.W.T.”_* (HR. Muslim).

Akhirnya perkara itu sampai ke pengetahuan Sayyidina Uthman Bin Affan r.a. yang kemudian mula bertindak ingin membebaskan telaga ‘Rummah’ itu. Uthman r.a. segera bertemu dengan orang Yahudi pemilik telaga dan menawar untuk membeli ‘Bi’ru Rummah’ dengan harga yang tinggi.

Namun begitu, walau sudah ditawarkan dengan harga yang tertinggi sekalipun, si Yahudi pemilik telaga tetap menolak dan tidak mahu menjualnya kerana dia telah meraih keuntungan besar, _“Seandainya telaga ini saya jual kepadamu wahai Uthman, maka aku tidak mempunyai pendapatan yang boleh aku perolehi setiap hari.”_ Yahudi tersebut menjelaskan alasan penolakannya.

Uthman bin Affan r.a yang sangat yakin dengan janji Rasulullah itu, tidak kehilangan cara mengatasi penolakan Yahudi ini. Beliau lantas memberikan cadangan, _“Bagaimana kalau aku beli setengahnya saja dari telagamu.”_ Sayyidina Uthman r.a., melancarkan kemahiran rundingannya.

_“Maksud kamu?”_ tanya orang Yahudi kehairanan.

Sayyidina Uthman bin Affan r.a. menawarkan 12,000 dirham supaya orang Yahudi tersebut bersetuju menjual setengah saja daripada telaga ‘Rummah’.

_“Begini, jika engkau setuju, maka kita akan memiliki telaga ini bergilir-gilir. Satu hari telaga ini milikku, esoknya kembali menjadi milikmu kemudian lusa menjadi milikku lagi demikianlah seterusnya berganti berselang hari. Bagaimana?”_ jelas Uthman r.a.

Si Yahudi sangka dia boleh mempergunakan kemahiran Uthman yang masyhur sebagai peniaga dan dikenali oleh orang Arab, maka tentulah perniagaannya akan lebih berkembang dan harga air boleh dinaikkan. _“Aku mendapatkan wang besar daripada Uthman tanpa kehilangan telaga milikku.”_

Akhirnya orang Yahudi tersebut pun bersetuju menerima tawaran Uthman r.a. tadi dan disepakati juga bahawa pada hari tersebut telaga ‘Rummah’ adalah milik Sayyidina Uthman bin Affan r.a.

Uthman r.a. pun segera mengumumkan kepada penduduk Madinah yang mahu mengambil air di telaga ‘Rummah’, dipersilakan mengambil air untuk keperluan mereka secara percuma kerana hari ini ‘Bi’ru Rummah’ adalah miliknya. Beliau juga mengingatkan agar penduduk Madinah mengambil air dalam jumlah yang cukup untuk 2 hari, kerana hari esoknya telaga itu bukan lagi milik Sayyidina Uthman r.a.

Keesokan hari Yahudi mendapati telaga miliknya lengang, sebab penduduk Madinah masih mempunyai simpanan air di rumah, tiada sesiapa pun yang mahu membelinya.

Setelah beberapa lama begitu si Yahudi itu pun berasa kerugian besar lalu dia pergi bertemu dengan Uthman r.a. dan berkata, _“Wahai Uthman! Belilah setengah lagi telagaku ini dengan harga 8,000 dirham.”_

Sayyidina Uthman r.a. pun bersetuju, lalu dibelinya dengan harga tersebut, maka dengan nilai 20,000 dirham (12,000 dirham + 8,000 dirham), ‘Bi’ru Rummah’ pun secara mutlak menjadi milik Uthman r.a.

Kemudian hari datang pula seorang sahabat lain yang juga hartawan minta untuk membeli telaga ‘Rummah’ itu daripada Sayyidina Uthman bin Affan r.a. Beliau pun bertanya hartawan tersebut, _“Berapakah harga yang kamu sanggup bayar?”_

Hartawan menjawab bahawa dia sanggup membayar tiga kali ganda daripada harga yang dibeli oleh Uthman bin Affan r.a. Tetapi Uthman r.a. tidak setuju dan bertanya lagi, _“Berapa harga yang kamu sanggup?”_

Hartawan menjawab, _“Sembilan kali ganda harga yang Tuan beli.”_

Sayyidina Uthman r.a. masih tidak setuju. Hartawan bertanya kehairanan.. _“Siapa lagikah yang sanggup membeli dengan harga yang lebih mahal daripada aku?”_

Maka Uthman bin Affan r.a. menjawab, *_“ALLAH!”_*

Akhirnya kaum Muslimin dapat minum air telaga itu secara percuma kerana kemudian Sayyidina Uthman bin Affan r.a. telah mewakafkan ‘Bi’ru Rummah’. Sejak dari hari itu telaga ‘Bi’ru Rummah’ dapat dimanfaatkan oleh sesiapa saja, termasuk Yahudi pemilik lamanya. Dengan takdir Allah sesudah telaga itu diwakafkan untuk kaum Muslimin dan selepas beberapa tahun kemudian, tumbuhlah di sekitar telaga tersebut beberapa pokok kurma dan terus membiak.

Di kemudian harinya ketika pemerintahan Daulah Khalifah Uthmaniyah (empayer kerajaan Uthmaniyah Turki) memeliharanya hingga semakin berkembang biak dan seterusnya juga turut dipelihara oleh kerajaan Arab Saudi sehingga mencapai jumlah 1550 batang pokok dan berbuah dengan sangat lebat. Mereka telah menjaga ladang kurma dan hasil jualan kurma2 itu serta menyimpannya sehinggalah wujudnya kerajaan Saudi.

Ladang kurma tersebut kemudiannya dipajak kepada Kementerian Pertanian cawangan Madinah sejak 1372 dengan kontrak tahunan diperbaharui pada awal setiap tahun.

Seterusnya kerajaan Arab Saudi, melalui Kementerian Pertanian Saudi menjual hasil ladang kurma ini ke pasaran sehingga banyak wang yang terkumpul. Setengah daripada keuntungan itu diinfaqkan untuk anak-anak yatim dan fakir miskin. Manakala separuh lagi dibuat tabungan dan disimpan dalam bentuk akaun khas milik beliau di salah sebuah bank atas nama Uthman bin Affan, di bawah pengawasan Kementerian Wakaf Arab Saudi.

Begitulah seterusnya, sedekah Uthman bin Affan r.a. terus bercambah dan membiak membuak-buak tanpa hentinya sehingga dana terkumpul yang di bank itu mampu untuk membeli sebidang tanah dan membangunkan hotel yang cukup besar di salah satu tempat strategik berhampiran Masjid Nabawi.

Bangunan hotel itu sudah pada tahap penyelesaian dan akan disewakan sebagai hotel 5 bintang. Dianggarkan keuntungannya sekitar RM50 juta setahun. Setengahnya untuk anak-anak yatim dan fakir miskin dan setengah lagi tetap disimpan dan ditabung di bank atas nama Sayyidina Uthman bin Affan Radhiyallahu anhu.

Nabi s.a.w. pernah bersabda, *_“Tiap-tiap Nabi mempunyai teman dan sahabatku di Jannah (syurga) adalah Uthman.”_* (Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Subhanallah,… Selepas 14 kurun sedekah Sayyidina Uthman bin Affan r.a. melalui wakaf telaga ‘Bi’ru Rummah’ masih berterusan. Jelaslah tidak akan rugi berniaga dengan Allah S.W.T., malah akan sentiasa mendatangkan keuntungan berterusan… Ini adalah salah satu bentuk sedekah jariah, yang pahalanya terus mengalir, walaupun orangnya sudah lama meninggal..

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, *_“Sesungguhnya di antara amalan dan kebaikan seorang mukmin yang akan menemuinya selepas kematiannya adalah: ilmu yang diajarkan dan disebarkannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mushhaf yang diwariskannya, masjid yang dibangunnya, rumah untuk ibnu sabil yang dibangunnya, sungai (air) yang dialirkannya untuk kegunaan awam, atau sedekah yang dikeluarkannya daripada hartanya di waktu sihat dan semasa hidupnya. Semua ini akan menemuinya setelah dia meninggal dunia.”_* (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi)
Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment