Saturday, April 23, 2016

PANDUAN N PERKONGSIAN ILMU UTK SEMUA BIKERS

Lima kesilapan paling popular penunggang baru motosikal besar.

Sekarang ini, sudah menjadi trend untuk membawa motosikal berkuasa besar.

Dengan bantuan dari syarikat motosikal yang menurunkan harga serta bantuan pinjaman yang lebih mudah dari institusi kewangan, penjualan motosikal berkuasa besar (atas 250 cc) meningkat sehingga lebih dari 50 peratus berbanding tiga tahun sebelumnya.

Namun begitu, walaupun ramai yang berfikir secara serius sebelum melakukan pembelian motosikal besar pertama mereka, ada segelintir yang membeli atas hasutan nafsu dan tidak mengikut logik.

Careta di sini berkongsi lima kesilapan besar paling popular yang dilakukan oleh penunggang baru motosikal besar. Tip-tip ini sebenarnya diambil dari laman web about dan diadaptasi untuk pembaca Malaysia.

1. Membeli motosikal yang terlalu besar dan berkuasa

Memang lebih “glam” untuk membeli motosikal besar, dan ada yang mencari motosikal paling besar boleh dibeli dengan bajet mereka.

Ini satu kesilapan besar kerana semakin besar saiz motosikal dan semakin tinggi kuasanya, lebih kepakaran diperlukan sebelum nyawa anda berakhir di pembahagi jalan.

Kawasaki Ninja 250 SL ialah satu pilihan motosikal besar pertama anda.

Beli motosikal entry-level seperti motosikal 250cc (untuk yang tidak pernah membawa motosikal berklac) atau 650cc seperti Kawasaki ER6N atau Yamaha XJ6.

Motosikal bukan seperti kereta, di mana kereta mampu bertugas beberapa fungsi. Motosikal mempunyai gaya tunggangan yang lebih spesifik, dan sekiranya anda baru menunggang dan tidak pasti lagi gaya tunggangan mana yang anda suka, adalah lebih baik beli yang terpakai dan kemudian cari gaya tunggangan anda. Selepas itu, jual dan beli motosikal baru yang anda tahu anda akan suka.

2. Terlampau berani

Ada penunggang baru yang terlalu berani, dan terus menunggang di kawasan sukar seperti di tengah bandar yang sibuk.

Menunggang di bandar memerlukan beberapa skil yang penting dan harus dipelajari dahulu. Contohnya, anda perlu mahir menunggang dengan kelajuan rendah di antara kenderaan, dan anda perlu tahu bagaimana untuk membuat pusingan di kawasan sempit.

Biasakan dengan dimensi motosikal anda sebelum mula mencilok!

Paling baik, selepas membeli motosikal anda, tunggang secara santai di kawasan yang kurang sibuk dan belajar selok-belok motosikal anda.

Ini secara tidak langsung menaikkan kadar keyakinan anda dan akan menyelamatkan nyawa anda.

3. Gagal membaca situasi

Salah satu ungkapan popular yang sering diberikan oleh pelatih penunggang motosikal ialah Look Ahead. Ia bukan sahaja bermaksud meilhat ke depan, tetapi lebih kepada membawa situasi yang mungkin atau bakal terjadi.

Jangan terlalu berani bila pengalaman masih singkat.

Kemahiran ini sangat penting untuk tunggangan di dalam bandar. Contohnya sekiranya anda menunggang di antara kenderaan di kala kesesakan lalu lintas, baca tayar hadapan kenderaan di kiri kanan anda – tayar yang membelok keluar menandakan pemandu itu mungkin akan bertukar lorong tanpa menyedari kedatangan anda.

Anda juga perlu belajar mengenali pemandu kenderaan yang liar, dan menunggang jauh dari mereka. Walaupun mereka bersalah, kita penunggang sentiasa menjadi mangsa yang lebih teruk kerana kita tidak ada dinding besi di antara tubuh kita dan jalanraya.

4. Pastikan anda bukan seorang halimunan

Ketika menunggang, pastikan pemandu kenderaan lain sentiasa nampak atau tahu kehadiran anda. Caranya ialah dengan memastikan kita tidak berada di dalam “blind spot” atau titik buta pemandu tersebut.

Paling mudah, tunggang di sebelah tepi sehingga anda nampak muka mereka pada cermin sisi (tidak perlu tunggang dengan rapat).

Ketika hujan, jauhkan dari menunggang di kiri atau kanan kenderaan berat seperti lori treler kerana percikan air hujan menghalang pemandangan sisi mereka. Anda juga patut meletakkan dua jari anda pada tuil brek hadapan agar senang untuk berhenti sekiranya ada kecemasan.

Ketika menunggang, jadilah seorang yang paranoid (penakut) kerana merekalah yang sering terselamat.

5. Berkonvoi sebelum waktunya

Ada penunggang yang terlalu seronok dengan hobi terbaharu mereka dan terus mengikuti kumpulan lain untuk berkonvoi.

Pilih rakan konvoi dengan baik dan beritahu mereka anda masih baharu. Jangan ikut kelajuan mereka sekiranya anda rasa takut dan tidak yakin. Jangan ikut terlalu rapat di belakang motosikal di hadapan kerana anda tidak akan dapat membaca selekoh.

Paling bagus, keluar menunggang dengan seorang rakan yang sudah lama menunggang dan belajar garisan membelok dan cara berhenti yang betul.

No comments:

Post a Comment