Friday, March 11, 2011

Orang bertakwa tempatnya di syurga

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SETELAH Allah SWT menjelaskan adanya pelbagai bentuk usaha manusia dan menunjukkan bahawa orang yang berbuat baik akan dibimbing kepada perbuatan-perbuatan baik, dan orang yang berbuat buruk akan Allah SWT mudahkannya berbuat nista.

Lalu disusuli dengan keterangan bahawa Dia melarang para hamba-Nya mengutarakan sesuatu yang dapat membuka keaiban-keaiban yang sebelumnya dan menunjukkan jalan yang benar kepada semua manusia.

Barang siapa yang ingin mendapat kebaikan, pasti dia akan selamat dan beruntung. Akan tetapi, sesiapa yang meniti jalan yang sesat maka dia pasti jatuh ke dalam lembah kebinasaan.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya tanggungan Kamilah memberi hidayah petunjuk (tentang yang benar dan yang salah).

Ibn Jauzi berkata: Atas Kami menerangkan jalan hidayat daripada jalan kesesatan.

Syed Qutub menambah: Sentuhan yang kedua adalah penjelasan yang tegas tentang hakikat kuatkuasa Allah yang mengepung seluruh manusia hingga tiada tempat perlindungan selain dari-Nya.

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya Kamilah yang menguasai hari akhirat dan alam dunia. Syed Qutub berkata: Oleh itu, ke mana lagi orang yang ingin pergi jauh dari Allah? Dan sebagai hasil dari pernyataan bahawa Allah meletakkan ke atas diri-Nya tugas menjelaskan hidayat kepada para hamba-Nya, juga pernyataan bahawa Dialah yang memiliki negeri akhirat dan alam dunia selaku dua negeri untuk menerima balasan dan untuk beramal, Allah mengingatkan mereka dengan keseksaan api neraka.

Firman Allah SWT: Maka (serentak dengan memberi hidayah petunjuk) Aku juga telah memberi amaran mengingatkan kamu akan api neraka yang marak menjulang. Yang tidak akan menderita bakarannya melainkan orang yang sungguh celaka, yang telah mendustakan (kebenaran) dan berpaling ingkar.

Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya kerana rahmat Ilahi kepadamu sekalian dan pengetahuan Kami yang sempurna tentang kemaslahatan-kemaslahatanmu, Kami telah mengurniakan hidayah kepadamu.

Justeru, Kami mengingatkan kamu tentang api neraka yang menyala-nyala. Di situ akan diseksa orang yang mendustakan ayat-ayat yang dibawa oleh Rasulullah SAW daripada Tuhannya, orang yang enggan untuk mengikut syariat-syariat-Nya dan berpaling daripada kebenaran serta tidak kembali kepada-Nya dengan bertaubat daripada dosa-dosa.

Firman Allah SWT: Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang yang sungguh bertakwa.

Ibn Kathir berkata: Akan dijauhkan dari api neraka orang yang benar-benar bertaqwa dan orang yang menjaga maruah dirinya. Kemudian Allah menafsirkan ayat ini dengan ayat selepas itu.

Firman Allah SWT: Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya. Yakni membelanjakan hartanya dalam ketaatan kepada Tuhan untuk mensucikan diri, harta dan apa yang dianugerahkan Allah kepadanya sama ada berkaitan agama atau dunia.

Syed Qutub berkata: Iaitu manusia yang membelanjakan hartanya ke jalan Allah untuk membersihkan dirinya bukan kerana riak dan bukan kerana bermegah-megah dan mendabik dada.

Manusia yang mengorbankan hartanya dengan sukarela bukan kerana membalas budi, bukan kerana menuntut terima kasih orang, malah semata-mata ikhlas kerana Allah Tuhannya Yang Maha Tinggi.

Firman Allah SWT: Sedang ia tidak menanggung budi sesiapapun, yang patut dibalas. Al-Alusi berkata: Ayat ini semata-mata untuk mensucikan kerana Allah dan tiada suatu pun di sisinya nikmat yang mungkin dibalas kerana besar dan banyaknya nikmat Allah terhadap manusia.

Al-Maraghi berkata: Dengan mendermakan hartanya itu, dia tidak bermaksud untuk membalas baik jasa orang yang pernah berbuat baik kepadanya atau rasa baik yang pernah diberikan kepadanya.

Firman Allah SWT: Hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya yang Maha Tinggi. Dan demi sesungguhnya, ia tetap akan berpuas hati (pada Hari Akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkannya).

Ibn Jauzi berkata: Melainkan mencari dan menuntut pahala daripada Tuhannya dengan kurniaan syurga daripada pahala Allah SWT tersebut.

Ibn Kathir pula berpendapat: Kerana keinginan yang bersungguh untuk melihat Tuhan di hari akhirat dan mencapai syurga. Begitu juga, Allah pasti meredai orang yang mempunyai sifat yang baik.

Syed Qutub berkata: Apakah yang ditunggu-tunggu dan diharapkan oleh insan yang bertakwa dan berkorban sedemikian rupa? Balasan yang ditunjukkan oleh al-Quran kepada orang-orang mukmin itu amat menakjubkan, amat memeranjatkan dan luar biasa.

Itulah kerelaan dan kepuasan hati yang mencurah di dalam hati orang yang bertakwa. Itulah kepuasan yang menyelubungi jiwanya dan seluruh anggotanya.

Itulah kerelaan yang menyerapi seluruh entitinya dan membasahi hidupnya. Itulah balasan dan nikmat yang paling agung.

No comments:

Post a Comment