Monday, April 23, 2018

CABARAN DAKWAH KHULAFA AR-RASYIDIN : UMAR AL-KHATTAB (Siri 65)

*Tazkirah Jiwa Siri 527*

*CABARAN DAKWAH KHULAFA AR-RASYIDIN : UMAR AL-KHATTAB (Siri 65)*

*PEPERANGAN AL-JISRU (JAMBATAN) (samb.)*

Abu Ubaid bin Mas’ud yang memancung belalai gajah putih telah diserang oleh gajah itu dengan ganasnya iaitu memijaknya. Akibat serangan ini Abu Ubaid bin Mas’ud terkorban syahid dibawah tapak kaki gajah. Saudara kepada Abu Ubaid bin Mas’ud iaitu Hakkam segera memimpin pasukan tentera Islam sebagaimana wasiat sebelum ini oleh Abu Ubaid bin Mas’ud agar sanak saudaranya memimpin pasukan tentera jika seorang demi seorang syahid.

Hakkam bergegas untuk mengambil bendera tentera Islam yang berada dekat jenazah Abu Ubaid bin Mas’ud namun beliau juga dipijak oleh gajah sehingga syahid. Seorang demi seorang sanak saudara Abu Ubaid bin Mas’ud dari Bani Thaqif iaitu seramai tujuh orang telah syahid. Akhirnya panglima Muthanna bin Haritsah pula memegang bendera tentera Islam. Beliau memimpin pasukan tentera Islam yang sudah dalam keadaan sangat kelam kabut. Bayangkan yang ada hanyalah satu jambatan untuk menyeberangi sungai Furat sahaja dan ianya satu-satunya jalan keluar dari kekalutan perang ini.

Tentera Islam ramai yang mula berundur untuk menyeberangi jambatan, tiba-tiba seorang tentera Islam yang panik telah memotong tali jambatan. Akibatnya jambatan ini runtuh dan ramai tentera Islam jatuh dan lemas di dalam sungai Furat. Bagi tentera Islam yang belum menyeberangi sungai telah diasak hingga ke tebing menyebabkan mereka jatuh atau terjun dan ramai yang mati. Para ahli sirah menyatakan jumlah korban tentera Islam adalah dianggarkan melebihi 4000 orang.

Panglima Muthanna bin Haritsah mengarahkan tenteranya menyambung kembali jambatan yang telah putus ini dan menyelamatkan tentera Islam yang telah jatuh ke dalam sungai. Beliau pula terus mara bertempur dengan tentera Parsi dan apabila melihat jumlah korban tentera Islam yang ramai beliau segera mengarahkan tentera Islam berundur ke kota Ain at-Tamar.

Panglima Rustum mengarahkan serangan terhadap tentera Islam tanpa henti sehingga menyebabkan panglima Muthanna bin Haritsah mengalami cedera parah dan menemui syahid. Sebelum syahid panglima Muthanna bin Haritsah telah melantik panglima Bisyir bin Ubaidullah sebagai pemimpin tentera Islam.

Manakala jumlah korban di pihak musuh yang berjaya dibunuh oleh tentera Islam dalam perang yang sengit ini adalah sekitar enam ribu orang. Pasukan tentera Islam telah tewas dalam perang ini dan berita kekalahan ini disampaikan kepada Khalifah Umar al-Khattab di Madinah.

Apakah reaksi Khalifah Umar al-Khattab? Bersambung esok. Insya Allah.

Ust. Sabir
23hb. April 2018
7 Syaban 1439H
Makkah al-Mukarramah

No comments:

Post a Comment