Tuesday, August 16, 2016

BETUL KE MAKANAN SUNNAH?

Pertamanya ingin kami jelaskan yang kami bukan nak sabotaj penjualan makanan tambahan.

Ramai orang kita berminat dengan pemakanan sunnah. Jualan makanan sunnah pun dah jadi industri besar sekarang.

Tapi betul ke ambil suplemen itu bermakna anda ikut sunnah dan mendapat kelebihan pemakanan sunnah?

Tahukah anda bagaimana pemakanan sunnah sebenarnya?

Pemakanan sunnah bukan terletak pada jenis pilihan makanan, tetapi cara pemakanan.

Nabi (SAW) sebenarnya sangat kurang makan. Baginda lebih kerap berpuasa daripada makan.

Ingat kisah Nabi ikat beberapa ketul batu di perut demi menghilangkan lapar? Ingat kisah isteri baginda Aishah yang menceritakan dapur di rumah Nabi tak berasap selama beberapa bulan, mereka bertahan dengan memakan air dan kurma sahaja?

Nabi (SAW) kita makan sikit, makan makanan yang baik (zaitun, kurma, gandum), pernah menggunakan madu dan cuka sebagai ubat, namun baginda (SAW) tak makan semua itu setiap hari.

Kita ni bagaimana pula?

Kita ni makan banyak; selagi tak tersandar dan tak sendat kancing pinggang kain dan seluar memang takkan berhenti. Makan daging setiap hari kalah harimau. Makan nasi berpinggan-pinggan kalah buruh kasar atau kerja sawah. Jenis makanan pula semua bantai, lagi berproses lagi suka. Tak cukup makan di luar, siap tapau pula sambung makan di rumah.

Bila dah datang semua penyakit barulah sedar diri. Ubat tak mahu ambil tetapi nak amal pemakanan kononnya makanan sunnah. Cara pemakanan masih tak ikut cara Nabi. Cuma beli pemakanan segera daripada tin berlabel sunnah.

Nabi tak ajar begitu. Nabi ajar cara hidup sihat dengan kurangkan makan, lebihkan kerja. Bukan makan belasah semua, lebihkan berehat kemudiannya berlakon dengan pengambilan makanan segera dalam tin konon sunnah. Salah konsep tu.

Masih belum terlambat nak berubah. Jika sudah pun datang penyakit, ambillah ubat mengikut nasihat doktor. Ubah cara pemakanan, banyakkan berpuasa. Lebihkan ibadah, lebihkan kerja, ubah gaya hidup. Setelah badan kembali sihat, besar kemungkinan ubat-ubatan doktor boleh dikurangkan.

Nabi SAW ajar makan untuk hidup. Tapi umat Nabi SAW hidup untuk makan.

Dr Hana Hadzrami
Pakar Anestesiologi & Rawatan Rapi

No comments:

Post a Comment