Thursday, March 5, 2015

kisah buah delima

🌟 PERKONGSIAN ILMU HARI INI. 🌟

Dari Ka’ab bin Akhbar. Ketika Siti Fatimah Az Zahra, Puteri Rasulullah SAW, yang juga isteri kepada Sayidina Ali bin Abi Thalib sakit, ia ditanya oleh Sayidina Ali,  ” Wahai Fatimah, adakah engkau menginginkan sesuatu?” “Wahai Suamiku, aku ingin sekali makan buah delima”, Jawabnya.

Sayidina Ali termenung, ia tidak memiliki wang ketika itu. Namun, ia segera berangkat dan berusaha untuk mencari wang satu dirham untuk mendapatkan buah delima yang diinginkan isterinya itu. Akhirnya Sayidina Ali mendapatkan wang dan kemudian ia pergi ke pasar untuk membeli buah delima dan segera kembali pulang. Namun di tengah perjalanan menuju rumahnya, tiba-tiba ia melihat seseorang yang tengah terbaring sakit di tepi jalan, maka Sayidina Ali pun berhenti dan menghampirinya.

“Wahai orang tua, engkau kelihatan tidak sihat, apa yang diingini oleh hatimu ketika ini?”, tanya Sayidina Ali. “Wahai Tuan, sudah lima hari aku terbaring sakit di tempat ini, banyak orang berlalu, namun tak ada seorang pun dari mereka yang bertanya tentangku. T.kasih kepada dikau, Aku ingin sekali makan buah delima. Jika aku makan buah delima, rasanya sakitku mungkin akan sembuh kerana baik hasiatnya” Jawab orang tua tersebut.

Mendengar jawabannya, Sayidina Ali terdiam, sambil berkata dalam hati,

“Buah delima hanya ada satu biji sahaja, sengaja telah aku beli untuk Isteriku, kalau aku berikan kepada orang ini, pasti Fatimah akan sedih. Namun jika tidak aku berikan ertinya aku tidak menepati firman Allah, “Terhadap si pengemis, engkau janganlah menghardiknya. ” (QS. Al-Dhuha : 10).  Juga teringat akan sabda Nabi SAW, ” janganlah sekali-kali engkau menolak pengemis, sekalipun ia di atas kenderaan”. Maka kemudian Sayidina Ali membelah buah delima itu menjadi dua bahagian, separuh untuk orang tua itu dan separuh lagi untuk Siti Fatimah. Selepas makan buah delima yang separuh itu, orang yang sakit itu berkata "Sakitku ini hampir baik, tenaga sudah mula ada, namun jika aku makan separuh lagi, nescaya aku boleh berjalan dan mungkin boleh aku boleh bekerja. Mendengar kata-kata lelaki itu, Saidina Ali pun memberi separuh lagi delima itu.

Sesampai di rumah ia menceritakan peristiwa itu kepada Isterinya, dan Siti Fatimah berkata kepadanya, “Wahai Suamiku, usah engkau bersedih, demi Allah yang maha Perkasa dan Maha Agung, ketika engkau memberikan buah delima kepada orang tua itu, hati ku sangat puas dan lenyaplah keinginanku pada buah delima itu, usah dikau bersusah hati.”

Mendengar kenyataan Isterinya itu Sayidina Ali merasa sangat gembira. Tidak lama kemudian datanglah seorang tamu yang mengetuk pintu, lalu Sayidina Ali berkata, “Siapakah tuan?”

“Aku Salman Al Farisi,” Jawab orang yang mengetuk pintu itu. Setelah pintu dibuka, Sayidina Ali melihat Salman membawa sebuah wadah tertutup, dan diletakkan di depan Sayidina Ali, lalu Sayidina Ali bertanya, “Dari manakah wadah ini wahai Salman ?”. “Aku menghantarkannya untukmu dari Allah SWT melalui perantaraan Rasulullah SAW.” Jawabnya. Setelah penutup wadah tersebut dibuka, terlihat di dalamnya ada Sembilan buah delima. Sayidina Ali terus berkata, masyaa Allah, hatinya sangat terkejut dan gembira, akan tetapi,  “Wahai Salman, jika ini memang untukku, pasti jumlahnya Sepuluh”. Lalu ia membacakan firman Allah SWT, “Barangsiapa membuat satu amal kebaikan, maka pasti baginya sepuluh kali ganda amalnya (balasannya)”. (Al-An’am : 160)

Salman pun tertawa mendengarnya, sambil mengembalikan sebiji buah Delima yang ada ditangannya, seraya berkata, “Wahai Ali, demi Allah, aku hanya sekadar menguji dikau sahaja, ingin menguji sejauh mana KEYAKINANMU terhadap firman Allah yang engkau bacakan sebentar tadi.” 🌟🌟

🌟 Wallahu a'lam: Semoga bermunafaat akan kisah ini  🌟 Doakan Istiqamah A.U.R.A dan kita semua. 🌟

No comments:

Post a Comment