Monday, February 7, 2011

Sifu khasiat sayur dan tumbuhan


HEAN CHOOI berkongsi pelbagai rahsia mengenai tumbuh-tumbuhan yang banyak ditemui di sekeliling persekitaran kita.

DUNIA tumbuhan dan sayuran sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya. Namakan sahaja tumbuhan yang ada, pasti dengan mudah beliau mampu memberitahu dengan lengkap ciri-ciri atau khasiat yang boleh didapati daripadanya.

Itu yang dapat disimpulkan tentang Prof. Dr. Ong Hean Chooi, 61, yang boleh dianggap sifu atau pakar dalam subjek tumbuh-tumbuhan dan sayuran.

Ternyata, minat yang timbul sejak kecil untuk menerokai kepelbagaian tumbuhan yang ada di sekitarnya terus disemai hingga meningkat dewasa.

Lebih daripada itu, Hean Chooi tidak lokek untuk berkongsi ilmu yang diperoleh bersama khalayak apabila menghasilkan enam buah buku berkaitan bidang yang dipelajari.

Melalui penerbitan koleksi buku Siri Terapi Alami, masyarakat berpeluang menerokai khasiat dan manfaat besar daripada dunia tumbuhan dan sayuran yang mungkin tidak diketahui sebelumnya.

"Setakat ini saya sudah berjaya menyiapkan enam judul buku yang bertajuk Sayuran, Buah, Tumbuhan Liar, Tanaman Hiasan, Rempah Ratus dan Sayuran 2.

"Kesemua buku ini diterbitkan oleh pihak Utusan Publications & Distributors (UP&D) yang bertujuan untuk mendidik pembaca tentang fungsi dan kegunaan sesuatu tumbuhan atau sayuran itu," kata Hean Chooi yang merupakan Felo Penyelidik Kanan, Institut Sains Biologi, Universiti Malaya (UM).

Menurut anak kelahiran Taiping, Perak ini, setiap judul buku yang dihasilkan dalam koleksi tersebut mengambil masa kira-kira 10 bulan hingga setahun untuk disiapkan.

Walaupun ia satu tempoh yang agak lama, tetapi Hean Chooi mengaku berpuas hati kerana dapat menyumbang sesuatu berbentuk ilmu kepada rakyat di negara ini.

Khazanah ilmu

"Saya harap melalui penerbitan buku-buku ini, ia dapat memperkayakan lagi khazanah ilmu bagi mewujudkan masyarakat Malaysia yang berpengetahuan dalam pelbagai bidang," ujar Hean Chooi yang pernah diberi kepercayaan membentangkan kertas kerja mengenai tumbuhan ubatan bagi penyakit kanser di Korea Selatan.

Ditanya sambutan yang diterima terhadap buku-buku tersebut, beliau tersenyum sambil memberitahu ia sangat menggalakkan.

Setiap judul buku akan memperincikan tentang keajaiban khasiat dan penawar daripada kepelbagaian sayuran, buah, tumbuhan liar, tanaman hiasan dan rempah ratus untuk kegunaan sehari-hari.

Ia juga dilengkapi dengan ilustrasi berwarna dan mempunyai reka bentuk halaman yang mesra pembaca tanpa dipenuhi dengan teks yang banyak.

Selain itu, maklumat yang dipaparkan termasuklah nama saintifik, cara penanaman, taburan, rupa bentuk, kandungan, penyakit atau perosak sesuatu tumbuhan.

Buku berjudul Sayuran - Khasiat Makanan dan Ubatan yang diterbitkan pada tahun 2004 telah menerima Anugerah Buku Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bagi kategori Buku Dewasa manakala pada 16 Disember lalu, Siri Terapi Alami turut memenangi Anugerah Buku Bersiri PNM yang disampaikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Koleksi buku Siri Terapi Alami ini berharga antara RM35 hingga RM48 setiap satu. Ia boleh didapati di gedung buku MPH, Popular dan sebagainya.

__.

No comments:

Post a Comment